Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

28 Julai 2011

Pemajmukan

Pemajmukan merupakan satu proses membentuk perkataan dengan cara menggabungkan dua atau lebih perkataan dan perkataan baru yang terbabit daripadanya membawa konsep atau makna yang berlainan daripada makna asal perkataan-perkataan asal yang membentuknya.

Perkataan –perkataan majmuk yang menerima imbuhan disebut kata majmuk kompleks, contohnya, persuratkhabaran, ketidakpuashati, bertanggungjawab, diperanaktirikan dan  lain-lain.
Jenis kata Majmuk

Kata Majmuk terbahagi kepada dua iaitu kata majmuk endosentrik dan kata majmuk eksosentrik.  Kata endosentrik adalah kata majmuk yang salah satu daripadanya perkataan-perkataan yang membentuknya dapat menggantikan fungsi kata majmuk di dalam ayat.
Contoh:
Rumah sakit itu sedang diperbaiki..
Beg tangannya besar.
Air batu ini terlalu manis.
Kata majmuk di dalam ayat di atas ialah “ rumah sakit, “beg tangan” dan “ air batu campur”.  Kata majmuk itu berfungsi sebagai subjek di dalam ayat dan salah satu daripada perkataan yang membentuknya boleh menggantikan fungsi kata majmuk itu.  Misalnya, ayat-ayat di atas boleh menjadi:
Rumah itu sedang diperbaiki.
Tangannya besar atau beg besar
Air ini terlalu panas

Dalam keadaan ini kata majmuk “rumah sakit”, “beg tangan”, dan “air batu campur” adalah kata majmuk endosentrik.
Kata majmuk eksosentrik pula ialah kata majmuk yang tidak ada daripada perkataan-perkataan yang membentuknya yang boleh menggantikan fungsi seluruh kata majmuk itu di dalam ayat.
Contoh:
Tanggungjawab saya berat.
Setiausaha mesyuarat tidak hadir
Ayat di atas tidak boleh berubah menjadi
 tanggung saya berat atau jawab saya berat.
Setia mesyuarat tidak hadir atau usaha mesyuarat tidak hadir.

Golongan Kata Majmuk
Kata majmuk juga terbahagi kepada empat golongan iaitu kata majmuk namaan , iaitu kata majmuk yang berfungsi sebagai nama di dalam ayat dan ia dibentuk daripada gabungan kata nama, kata kerja dan kata sifat. Kata majmuk karyaan pula ialah kata majmuk yang berfungsi sebagai kata kerja di dalam ayat.  Biasanya kata majmuk ini menerima imbuhan misalnya bertanggungjawab, mengemaskinikan, memberitahu dan sebagainya.  Kata majmuk sifat pula bermaksud kata majmuk yang berfungsi sebagi sifat misalnya biru muda, hitam manis, kuning langsat , segitiga dan sebagainya.  Akhir sekali ialah kata majmuk keterangan yang berfungsi sebagai keterangan di dalam ayat misalnya acapkali, seringkali dan sebagainya.

15 Julai 2011

Jean Piaget

Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun, 1981.

Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."

Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.

11 Julai 2011

DEFINISI PENDIDIKAN PEMULIHAN

Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan. Antara definisi awal ialah definisi yang dikemukakan oleh Pringle (1966), berpendapat  pengajaran pemulihan mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan belajar, melalui latihan yang sistematis dan dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.

Berdasarkan Collins (1961), pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata pelajaran asas. Beliau juga menegaskan pengajaran pemulihan ini ialah satu kaedah pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang gagal dalam mata pelajaran asas di sekolah seperti membaca, menulis dan mengira. Menurut Collins lagi ;
Special education treatment ofchildren found to befailing in the basic school subjects of reading, spelling and number.

Albewhite (1977), yang mengatakan pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk pengajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan - gangguan emosi. Beliau menegaskan bahawa:
By remedial teaching is meant teaching which is based in a different
diagnosis whichforms the basisfor scientific remedial procedures.

10 Julai 2011

TEORI PEMBELAJARAN

TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL
  Menurut Choong (2008), teori ini berfokuskan kepada pembelajaran yang berlaku dalam konteks sosial dengan memberi pertimbangan kepada bagaimana kita belajar sesama kita melalui pembelajaran pemerhatian.

Teori Pembelajaran Pemerhatian
Albert bandura (1925 hingga kini) adalah pakar psikologi yang menghubungkan pembelajaran melalui pemerhatian dan peniruan. Kajian dilakukan ke atas kanak-kanak apabila mereka menonton video orang dewasa memukul, mengetuk, menendang dan duduk di atas patung Bobo sambil menjerit “sockeroo!”. Kemudian, mereka pergi ke bilik permainan yang terdapat patung Bobo dan mula menunjukkan aksi-aksi yang dilakukan oleh orang yang mereka tonton tadi. Bandura menamakan situasi ini sebagai pembelajaran pemerhatian.

  Proses peniruan mempunyai empat langkah tertentu iaitu pemerhatian, penyimpanan, pengeluaran dan motivasi. Menurut Choong (2008), manusia belajar melalui pemerhatian atas tingkahlaku orang lain dan hasil tingkahlaku tersebut.

Implikasi Teori Pembelajaran Sosial Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
  Murid-murid perlu diberi peluang untuk memerhati dan meniru pelbagai jenis model yang menunjukkan tingkahlaku yang diingini. Sebagai guru, kita perlu menjadi contoh yang baik untuk mereka teladani. Selain itu, persekitaran sosial yang kondusif perlu disediakan agar tingkahlaku yang baik dapat diterapkan dalam kalangan murid-murid. Daripada pemerhatian dan peniruan ini, murid-murid dapat mempelajari sesuatu dengan mudah dan ringkas.

PENDEKATAN HUMANIS
Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), pendekatan ini melihat pelajar sebagai insan berpotensi, bermotivasi dan berkeupayaan untuk belajar dan berkembang. Menurut Choong (2008) pula, pendekatan ini menumpukan kepada perkembangan konsep kendiri, motivasi intrinsik dan kesedaran kendiri murid-murid.

Teori Pembelajaran Eksperiental
Carl Rogers (1902-1987), pelopor teori ini menganggap manusia pada dasarnya baik dan bermotivasi tinggi untuk mencapai potensi diri. Beliau juga percaya bahawa setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar. Teori pembelajaran eksperiental mengutamakan pelajar terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran. Rogers mengkategorikan teori ini kepada dua bahagian iaitu pembelajaran kognitif yang mementingkan akademik semata dan pembelajaran pengalaman yang melibatkan aplikasi pengetahuan. Apabila pelajar berada pada tahap ancaman rendah, kadar pembelajaran menjadi lebih pantas kerana pembelajaran tersebut atas usaha mereka sendiri.

Teori Hirarki Keperluan Maslow
  Abraham Harold Maslow (1908-1970), menghasilkan peringkat keperluan manusia untuk mencapai potensi diri masing-masing. Peringkat keperluan ini pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu keperluan kekurangan dan keperluan perkembangan. Di dalam keperluan kekurangan terdapat keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan yang perlu dicapai agar pelajar terus bermotivasi ke arah pencapaian yang lebih tinggi. Dalam keperluan perkembangan pula, pencapaian intelek, estetika dan penyempurnaan kendiri akan dicapai apabila keperluan kekurangan dipenuhi.

  Implikasi Pendekatan Humanis Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Guru perlu memenuhi keperluan asas murid-muridnya dahulu sebelum memulakan pengajaran. Kenalpasti setiap kekurangan keperluan asas semasa awal sesi pengajaran. Peruntukkanlah sedikit masa untuk melakukannya. Guru hendaklah menerima murid tanpa syarat mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Menurut  Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), guru hendaklah melayani individu pelajar sebagai insan, membentuk individu pelajar mengikut potensi masing-masing dan menyediakan mereka untuk menghadapi zaman dewasa kelak.

06 Julai 2011

IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIO-BUDAYA


Kepelbagaian sosio-budaya dalam sistem masyarakat majmuk di negara kita akan memberi kesan secara langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya dan kepada suasana pembelajaran secara khasnya. Implikasi kepelbagaian sosio-budaya ini melibatkan murid, guru,sekolah dan kurikulum tersirat .

Murid
Murid harus bersosial dalam melakukan aktiviti pembelajaran dan seharusnya berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prejudis terhadap rakan bangsa lain. Hati dan jiwa mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan terbaik supaya tidak terdapat perbezaan antara individu atau kumpulan murid dengan yang lain.
Kepercayaan dan amalan agama yang dianuti oleh murid tidak harus dipertikaikan dan aktiviti yang dijalankan haruslah berupaya menyemai semangat saling percaya dan mempercayai ke dalam jiwa murid. Proses sosiaisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan dalam masyarakat majmuk di negara kita.

Penggunaan bahasa yang standard harus diamalkan oleh murid-murid semasa berada di sekolah terutamanya semasa berlangsungnya pembelajaran.  Unsur-unsur dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan, dan murid harus sentiasa berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang betul. Laras bahasa yang tepat akan membantu murid berkomunikasi dengan lancar.

Murid juga digalakkan berinteraksi dan berhubung dengan mereka yang berlainan jantina mengikut batas-batas yang sepatutnya. Mereka juga perlu diberikan kesedaran batasan perhubungan dalam interaksi yang berlainan jantina dan saling menghormati antara satu sama lain.
 Kemahiran juga berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang. Komunikasi berkesan dapat dicapai melalui cara bertutur, pengunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui pengunaan alat-alat tertentu seperti komputer, telefon dan sebagainya.
 
Murid biasanya akan terpengaruh kepada tindakan guru yang menunjukkan teladan sebagai seorang profesional. Oleh itu guru mesti membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas bagi mengurangkan segala tingkahlaku negatif.

Murid biasanya suka akan budaya belajar yang ceria, menyeronokkan, menyentuh emosi, disamping meningkat kecergasan mental, kreatif dan ininovatif dan bermatlamat. Guru diperlukan membentuk budaya bilik darjah yang dinamis, mementingkan aspek nilai-nilai murni, hubungan yang mesra sesama murid dan murid dengan guru.

Murid yang sentiasa mendapat dorongan dan bimbingan guru serta rakan sebaya, tahap disiplin yang terkawal melalui tindakan yang berhemah, yang dibaluti perasaan kasih saying dapat memberi peluang yang terbaik untuk mengembangkan potensi diri mereka kea rah pembentukan modal insane yang berkualiti.

Tindakan murid boleh dibuat jangkaan oleh guru. Guru boleh dapat mengurangkan kadar ponteng dan masalah disiplin melalui pendekatan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Kadar bilangan murid yang terlalu ramai dan tidak seimbang bukanlah ukuran subjektif bahawa kelas itu tidak dapat dibangunkan. Kecekapan yang ditunjukkan oleh bakal guru menghasilkan sebuah bilik darjah yang dapat ditransformasikan  menjadi sebuah rumah yang menepati slogan ‘bilik darjahku, rumahku’.

Mungkin terdapat beberapa orang murid yang nakal didalam setiap kelas, namun harus diingat bahawa bukan murid menjadi puncah permasalahan. Kemahiran mengawal kelas sebaik sahaja guru memasuki kelas merupa titik noktah penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid –murid yang menimbulkan punca permasalahan harus dikenalpasti, supaya murid lain tidak menjadi ‘pak turut’. Guru mesti mencuba membantu menyelesaikan punca permasalahan dan meneruskan aktiviti pengajaran dengan banyak berinteraksi dengan murid sehingga ia merasakan dirinya mendapat perhatian dan dihargai sehingga ia merasakan mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi kerana tingkahlakunya yang disenangi guru.

Ketegasan terhadap disiplin murid perlu dilakukan dengan cara dan pendekatan berhemah yang menampakkan bahawa ketegasan itu bukan bertujuan mendera tetapi lebih kepada pengajaran. Kesabaran, kecekalan dan kesungguhan untuk membentuk perangai murid memang mengambil masa yang lama.

Murid harus diterapkan supaya membiasakan diri datang ke bilik darjah tepat pada masanya.

MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS


Definisi Memartabatkan Bahasa Malaysia Dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (Mbmmbi)

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tujuan MBMMBI
  • Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
  • Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
Strategi pelaksanaan MBMMBI
Memartabatkan Bahasa Malaysia
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
  • Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
  • Asas Berbahasa (Back To Basics)
  • Didik Hibur
  • Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
  • Program Bacaan
  • Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
  • Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
  • Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
  • Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
  • Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.

Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.

Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.

Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.

Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.

Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.
Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.

Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.

Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.

Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris

05 Julai 2011

KECERGASAN FIZIKAL

Perangkaan perubatan menunjukkan bahawa masyarakat kini telah dinafikan banyak aktiviti fizikal. Ini boleh menyebabkan keadaan fizikal yang lemah. Ujian-ujian mudah ke atas kekuatan otot, stamina, kelembutan, koordinasi dan kemahiran motor asas telah menunjukkan keputusan yang lemah.
 
Kekurangan aktiviti fizikal boleh menyebabkan penurunan prestasi paru-paru dan saluran darah tersumbat dengan kolesterol. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan fungsi seperti masalah jantung, tekanan darah tinggi, aterosklerosis dan lain-lain masalah pengaliran darah. Tambahan lemak badan, kemerosotan kekuatan otot badan boleh menjejaskan posture dan menyebabkan masalah fizikal seperti kecacatan ortopedik. Oleh itu fizikal harus dirangsang. Aktiviti fizikal harus dijalankan sekurang-kurangnya 30 minit untuk 3 hari dalam seminggu.

Apa dia Kecergasan Fizikal
 

    Kecergasan fizikal adalah kemampuan dan kebolehan seseorang melakukan aktiviti seharian tanpa merasa letih serta masih mempunyai tenaga untuk melakukan aktiviti kesenggangan.

Definisi kecergasan fizikal:

       Falls (1980)

"Kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek-aspek yang   berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi seseorang individu perlindungan dari ancaman penyakit-penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan berbagai-bagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi-fungsi dan keupayaan seseorang itu yang membolehkan beliau bertanding dalam aktiviti sukan dengan lebih tenaga daya kuasa, kekuatan, daya tahan, kemahiran dan sebagainya"


    Tiap-tiap orang boleh meningkatkan kecergasan fizikalnya hingga ke tahap maksima. Untuk mencapai ke tahap kecergasan ini seseorang harus baik dalam tiap-tiap komponen kecergasan.   Program kecergasan fizikal yang seimbang terdiri dari gabungan senaman yang boleh meningkatkan daya kadiovaskular, kekuatan otot, ketahanan dan kelenturan. Terdapat dua komponen utama kecergasan iaitu :
  Komponen Kecergasan Kesihatan.

Komponen kecergasan kesihatan melibatkan kecergasan kardiovaskular atau daya tahan aerobik, kekuatan dan daya tahan otot kelenturan serta komposisi badan
 

Komponen Kercergasan Perlakuan Motor.

Komponen kecergasan perlakuan motor melibatkan kelajuan, keseimbangan, koordinasi, kuasa dan ketangkasan yang diklasfikasikan sebagai kecergasan motor

Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia