Pengenalan
Program penilaian
Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (
SEGAK ) ini telah dirancang selari dengan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani
dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Menengah.
Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah
sedentari. Kecergasan yang optimum boleh
membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa berasa letih dan lesu.
Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan
dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan
dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang
standard dapat diukur.
“SEGAK” mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya ke
sekolah mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil ujian ini akan
mendapat pengiktirafan sijil secara peperiksaan berpusat.
Rekod penilaian kecergasan memberi maklumat
tentang tahap kecergasan murid. Ujian yang dijalankan secara sistematik perlu
diadakan dua kali setahun dan diharap dapat memotivasikan murid mengamal gaya
hidup sihat. Murid akan lebih
bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kesejahteraan negara selaras dengan hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020.
Definisi
Kecergasan Fizikal
“Kecergasan
untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan
psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan daripada ancaman
penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung,
kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula
merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti
sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, kemahiran dan
sebagainya.”
Falls, 1980
Matlamat
Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan
mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap
kecergasan fizikal yang optimum.
Objektif
Murid dapat :
1. mengetahui kepentingan kecergasan fizikal;
2. melakukan ujian kecergasan yang dirancang oleh
pentadbir sekolah;
3. menganalisis, mengintepretasi dan menyimpan rekod
kecergasan fizikal individu;
4. melakukan tindakan susulan untuk meningkatkan
kecergasan fizikal individu melalui perancangan aktiviti kecergasan secara
sistematik; dan
5. pengiktirafan tahap kecergasan individu
berdasarkan prestasi semasa.
Prosedur
Semua murid perlu menjalani ujian-ujian kecergasan
fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini. Prosedur dan teknik ujian
hendaklah mengikut peringkat umur, keupayaan murid dan mengambilkira peralatan serta
tempat ujian dijalankan. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.
Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar
waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada
hari yang sama. Guru melatih murid
terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama
rakan atau keluarga mereka. Ujian ini
mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan. Urutan item bateri ujian adalah seperti
berikut;
1.
Naik Turun
Bangku ( 3 minit )
2.
Tekan Tubi (
1 minit )
3.
Ringkuk Tubi
Separa (1 minit )
4.
Jangkauan
Melunjur
Ukuran antropometrik untuk mendapatkan Indeks
Jisim Badan perlu dibuat sebelum
melakukan ujian ini.
Ujian yang dicadangkan ini boleh digunakan sebagai
aktiviti latihan kecergasan. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada
bulan Mac dan Ogos.
Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh
menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.
Persediaan
1. Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani
ujian, khasnya dalam latihan aerobik.
2. Murid mesti
melakukan aktiviti memanaskan badan secukupnya sebelum menjalani ujian.
Keselamatan
1. Murid
dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :
(a) disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak
mengambil ujian kecergasan fizikal;
(b) mengidap penyakit kronik; dan
(c) tidak sihat pada waktu ujian.
2. Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat
dan berfungsi dengan baik.
3. Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan
jenis ujian yang hendak dijalankan.
4. Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.
5. Pengawasan guru diutamakan semasa ujian
dilaksanakan.
6. Murid melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas
ujian dilaksanakan.
Prinsip
Latihan
Untuk mengelakkan kecederaan dan meningkatkan prestasi,
murid perlu mematuhi prinsip-prinsip latihan kecergasan seperti berikut:
1. Prinsip
tambah bebanan
Ketika menjalani latihan, penambahan
beban perlu dibuat secara beransur-ansur berdasarkan kemampuan agar tidak
mendatangkan kecederaan. Keadaan ini
melatih otot bekerja lebih kuat seterusnya meningkatkan kecergasan.
2. Prinsip
perbezaan individu
Kemampuan dan keupayaan individu
adalah berbeza. Guru harus menyesuaikan
aktiviti latihan mengikut keupayaan individu.
3. Prinsip
kekhususan
Latihan fizikal yang dijalankan
perlulah diberikan berdasarkan keperluan kecergasan individu dan jenis sukan
yang diceburi.
4. Prinsip
kebolehbalikan
Kesan atau hasil latihan bukanlah
sesuatu yang kekal. Sekiranya latihan tidak dilakukan secara berterusan,
penurunan dalam prestasi akan berlaku.
5. Prinsip
kepelbagaian latihan
Program latihan perlu dipelbagaikan
untuk mengekalkan minat individu dalam sesuatu aktiviti bagi mengelakkan
kebosanan.
Aktiviti Memanaskan Badan
Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum memulakan ujian
kecergasan ini seperti;
1.
Regangan otot
bahu, tangan, pinggang dan kaki.
2.
Lari
setempat, lompat, skip atau turun naik bangku.
Aktiviti Menyejukkan Badan
Murid mesti melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas melakukan ujian kecergasan
seperti;
1.
Berjalan
perlahan-lahan selama 3 minit.
2.
Regang otot
bahu, tangan, pinggang dan kaki perlahan-lahan.
Pelaporan
1. Murid perlu merekod hasil ujian mereka.
2. Guru mengesahkan ujian yang telah dilakukan oleh
murid.
3. Guru melaporkan hasil ujian dalam laporan
Penilaian Kendalian Sekolah.