Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan
Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai
bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan
Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan
berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan
penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa
komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tujuan MBMMBI
- Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
- Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
Strategi pelaksanaan MBMMBI
Memartabatkan Bahasa Malaysia
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi
perkara-perkara berikut:
- Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
- Asas Berbahasa (Back To Basics)
- Didik Hibur
- Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
- Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
- Program Bacaan
- Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
- Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
- Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
- Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
- Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia –
Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang
bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.
Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan
asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa
pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang
menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah
berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam
konteks.
Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan
menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai
kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni
bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat,
pelaporan dan penghasilan produk.
Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
– Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong
P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti
dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P –
Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman
web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu
portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan
forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna
Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa
Malaysia.