Kamus Dewan (1998) mendefinisikan
kepimpinan sebagai suatu keupayaan, kebolehan, kecekapan, daya tindak tanduk
dan pencapaian seseorang sebagai pentadbir atau pemimpin. Manakala gaya
kepimpinan didefinisikan sebagai cara seseorang mempengaruhi tingkah laku orang
lain. Razali (1996) mentafsirkan gaya kepimpinan sebagai satu struktur kemahuan
yang terslindung dalam diri pemimpin dan mempengaruhi gelagatnya dalam pelbagai
suasana kepimpinan. Ianya merujuk kepada keseragaman matlamat dan kemahuan
pemimpin dalam suasana yang berlainan.
Kajian ini telah menfokuskan dua
pendekatan gaya kepimpinan yang utama iaitu gaya kepimpinan berorientasikan
tugas dan gaya kepimpinan berorientasikan timbang rasa. Kedua-dua gaya
kepimpinan membawa ciri dan pendekatan yang berbeza.
Gaya berorientasikan tugas mempunyai
ciri-ciri penyeliaan yang ketat ke atas kakitangan untuk memastikan tugas yang
dapat dilaksanakan mencapai piawai yang ditentukan oleh pemimpin. Seorang guru
besar yang mengamalkan pendekatan ini lebih menitikberatkan penyelesaian tugas
daripada perhubungan dengan guru-guru. Mereka lebih cenderung menyusun dan
merangka aliran kerja di antara pihak atasan dengan pihak bawahan, serta
memainkan peranan utama dalam menentukan siapa bertanggungjawab membuat sesuatu
tugas, bagaimana melakukannya dan bila perlu diselesaikan. Robbins (2000)
berpendapat bahawa gaya ini sebagai keadaan di mana seorang pemimpin
mendefinisi dan menstruktur peranannya serta peranan pekerja semata-mata untuk
mencapai matlamat yang dirancang.
Gaya berorientasikan timbang rasa pula
lebih menekankan penglibatan guru-guru di bawah seliaanya berbanding terlalu
mengawal. Guru besar jenis ini biasanya menggalakkan guru-guru untuk turut
serta dalam proses membuat keputusan serta lebih menitikberatkan kepuasan
guru-guru. Robbins (2000) mendefinisikannya sebagai setakat mana seseorang
berkemungkinan mempunyai hubungan tugasan yang dicirikan oleh kepercayaan,
menghormati pendapat orang bawahan, dan mengambil kira perasaan mereka. Gaya
ini melihat kepada kesediaan untuk menyediakan keselesaan kepada pengikut,
kesejahteraan, status, dan kepuasan hati terhadap pekerjaan. Fleishman &
Harris (1969) menghuraikan gaya ini sebagai gaya yang menunjukkan persahabatan,
saling mempercayai, hormat menghormati, kemesraan, dan hubungan baik antara
pemimpin dengan kelompoknya. Dalam konteks ini, timbang rasa adalah tingkah
laku yang menunjukkan kemesraan antara satu sama lain, hormat menghormati
antara guru besar dan guru. Keadaan ini menekankan kehendak guru dalam
penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan serta mewujudkan situasi
komunikasi dua hala antara kedua-dua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan