Sastera Awal Kanak-Kanak
Sastera adalah hasil kreatif yang menggunakan bahasa yang
indah, baik dengan cara pengucapan atau bertulis. Sastera biasanya digunakan
sebagai bahan hiburan dan bahan pengajaran untuk mengenal diri dan masyarakat
sesuatu bangsa (Atan Long, 1977). Hasil kreatif sastera itu mungkin terdiri
daripada cerita, puisi, drama, cerpen, novel, hikayat, dan lain-lain karya.
Justeru, sastera awal kanak-kanak merujuk kepada hubungan kanak-kanak dengan
hasil kreatif iaitu buku atau bahan bacaan dan cerita. Hubungan ini boleh dalam
bentuk mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Pada peringkat awal
kanak-kanak, bahan seperti buku-buku bergambar yang berwarna; dan bahan bacaan yang diaplikasikan dengan
bahan audio visual perlu diperbanyak untuk menarik minat kanak-kanak membaca. Bahan yang demikian sangat penting kerana kebolehan
membaca banyak bergantung kepada ketajaman deria pendengaran dan deria penglihatan
kanak-kanak.
Kanak-kanak perlu didedahkan dengan aktiviti membaca buku
cerita, melihat pelbagai jenis buku, ditunjukkan cara menjaga buku dan
mengumpulkan buku berwarna-warni. Hal ini boleh berlaku kerana pada usia lima
tahun, kanak-kanak telah mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik,
sintaksis dan pragmatik. Asas-asas bahasa ini akan terus berkembang mengikut
pertambahan umur mereka. Satu konsep yang penting dalam pendidikan berhubung
dengan pembacaan ini ialah kanak-kanak ini harus disediakan dengan “kesediaan
atau persiapan sebelum membaca” atau “reading readiness”.
Fungsi sastera kanak-kanak dan remaja
Sastera
kanak-kanak dan sastera remaja merupakan bidang yang sangat menarik dan penting
kerana peranannya dalam memberikan sumbangan besar dalam sosial dan budaya dari
sudut pembelajaran dan pengajaran. Sastera kanak-kanak merupakan bahan bacaan
yang ditulis khas untuk sumber pengetahuan kanak-kanak. Bahan-bahan ini
merangkumi semua bentuk penulisan kreatif dam imaginatif yang khususnya
bertujuan untuk dibaca, hiburan dan dinilai oleh kanak-kanak. Menurut Misran
Rokimin (2001) meneliti sastera kanak-kanak sebagai agen pembangunan yang
menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia itu, sama ada dari segi
emosi, pemikiran atau kebahasaannya. Ketiga-tiga aspek ini akan terus
berkembang, yakni semakin banyak karya sastera yang dibacanya, semakin
bertambah perkembangan berlaku dalam diri kanak-kanak itu.
Sastera
remaja pula merupakan hasil ciptaan pengkarya untuk menceritakan tentang
kehidupan remaja, alam zahir dan alam batin remaja itu. Melalui
perasaan-perasaan dan fikiran-fikiran yang dilahirkan dengan bantuan bahasa
menjadikan seni sastera remaja sebagai satu hasil kehidupan jiwa yang terjelma
yang menggambarkan kehidupan masyarakat remaja. Menurut Othman Puteh(1988:21)
mengatakan bahawa sastera remaja merupakan bahan bacaan sastera kreatif yang
tercetus daripada pengamatan, pengalaman dan kreativiti pengarang yang relevan
dengan pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja yang berusia sekitar 12-20
tahun. Bahan ini dikatakan sebagai relevan kerana segala hasil karya tanpa
mengira genrenya yang dapat memperkaya pengalaman dan pengetahuan khalayak
pembacanya, merangsang minat dan berupaya menghidupkan daya imaginasi lalu
mendorong daya berfikir secara kritis dan selektif. ( DIPETIK DARI MODUL BMM3116 PGSR)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan