Apabila bercakap tentang keselamatan jalan raya, perkara yang serupa akan
diperkatakan. Mungkin orang ramai sudah lali dengan kempen keselamatan jalan raya.
Semua lapisan masyarakat sedar
akan sudah banyak kempen keselamatan jalan raya yang telah dilancarkan untuk
keselamatan para pengguna jalan raya. Kempen tersebut bertujuan untuk
mengingatkan pengguna supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya, Gambar-gambar serta poster-poster yang
memaparkan kemalangan ngeri serta kenderaan remuk telah dijadikan bahan
pameran. Turut dihebahkan termasuklah
statistik kemalangan pada setiap tahun.
Namun, yang menghairankan ialah bilangan kenderaan yang terlibat dalam
kemalangan jalan raya serta jumlah mangsa yang terkorban turut meningkat pada
setiap tahun.
Selain itu, jumlah kemalangan
jalan raya di Malaysia antara tertinggi di dunia. Penyataan ini amat membimbangkan kerana
sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kemalangan.
Persoalannya ialah, bagaimanakah keadaan ini berlaku? Siapakah yang seharusnya dipersalahkan? Adakah para pemandu cuai atau tidak beretika
semasa berada di jalan raya? Mungkinkah
para pemandu sengaja melanggar undang-undang jalan raya? Jawapannya ada pada pengguna jalan raya itu
sendiri.
Oleh itu, tanggungjawab
menjaga keselamatan jalan raya bukan hanya terletak pada jabatan-jabatan
kerajaan seperti pihak Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan
sebagainya. Semua pihak harus
bekerjasama agar kadar kemalangan yang menakutkan ini dapat dikurangkan. Tanpa kesedaran yang jitu pada setiap
pengguna jalan raya, kempen-kempen keselamatan yang dijalankan tidak akan
membawa apa-apa perubahan.
Kita perlu menganggap bahawa mangsa
yang terlibat dalam kemalangan jalan raya itu ialah diri kita sendiri atau
daripada kalangan keluarga kita. Justeru,
adakah kita sanggup melihat kemalangan itu terjadi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan