Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

22 Disember 2010

Sistem Bunyi Bahasa Melayu

Bahasa Melayu mempunyai sistem bunyi yang tersendiri dan untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan, seseorang pengguna bahasa perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya. 
 
Kajian bunyi lazimnya terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi. Fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi penyebutan dan pendengaran atau sifatnya. Fonologi pula mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi  dalam sesuatu bahasa.
 
ALAT PERTUTURAN DAN FUNGSINYA  


1. Bibir atas 11. Tengah lidah
2. Bibir bawah 12. Belakang lidah
3. Gigi atas 13. Akar lidah
4. Gigi bawah 14. Epiglotis
5. Gusi 15. Pita suara
6. Lelangit keras 16. Rongga tekak
7. Lelangit lembut 17. Rongga Hidung
8. Anak tekak 18. Rongga mulut
9. Hujung lidah 19. Rahang
10. Hadapan lidah 20. Tenggorok

FUNGSI ALAT PERTUTURAN 

Lidah
   Lidah ialah alat artikulasi yang terpenting dan paling aktif dalam pengeluaran bunyi bahasa. Lidah terbahagi kepada  empat bahagian, iaitu hujung lidah, tengah lidah, hadapan lidah, dan  belakang lidah. Pembahagian ini membolehkan lidah membuat deskripsi pelbagai jenis penghasilan bunyi. Bahagian hadapan lidah, tengah lidah dan belakang lidah penting dalam pengeluaran bunyi-bunyi vokal, iaitu bunyi vokal hadapan, tengah dan belakang. Hujung lidah merupakan bahagian paling aktif dan boleh digerakkan ke mana-mana bahagian mulut untuk membuat penyekatan.  
Gigi 
   Gigi juga berperanan dalam penghasilan bunyi bahasa tetapi peranannya tidaklah aktif. Kedudukannya yang statik dan sentiasa digunakan sebagai penampan aliran udara dalam penghasilan bunyi. Penampan aliran udara inilah yang menghasilkan bunyi. 

Bibir 
   Bibir adalah alat artikulasi yang terletak pada bahagian luar rongga mulut. Bibir terdiri daripada otot-otot kenyal yang boleh dihamparkan dan dibundarkan dan berperanan  mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai. Bibir juga menjadi sempadan paling luar daripada rongga mulut. Bibir juga berfungsi membuat sekatan kepada udara yang keluar daripada rongga mulut. 

Gusi
   Gusi merupakan bahagian yang embung dan menurun dari gigi ke bahagian dalam rongga mulut. Organ ini digunakan sebagai daerah sebutan dengan bantuan hujung lidah yang berfungsi membuat penyekatan. 

Lelangit 
   Lelangit dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu lelangit keras dan lelangit lembut.  Lelangit lembut menganjur dari sempadan lelangit keras hingga ke akhir rongga mulut. Lelangit keras bermula dari sempadan gusi di bahagian hadapan atas rongga mulut dapat diturunnaikkan untuk menutup atau membuka saluran rongga tekak terus ke rongga hidung. Apabila dinaikkan, rongga mulut akan terbuka dan udara akan keluar melalui rongga mulut dan apabila diturunkkan, rongga mulut akan tertutup dan udara terpaksa keluar melalui rongga hidung.  
Rongga Hidung 
   Terletak di atas rongga mulut yang dipisahkan oleh lelangit. Rongga hidung boleh dibuka atau ditutup, bergantung kepada keadaan sama ada anak tekak dan lelangit lembut dinaikkan atau tidak. 
 
Pita Suara
   Pita suara terletak dalam ruang tenggorok (halkum) dan amat penting dalam penghasilan bunyi. Proses pengeluaran suara berlaku dengan cara memperluas dan mempersempit lubang yang terdapat di antara dua keping selaput nipis berkenaan.

 

SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK


Dalam sejaran ilmu linguistik, golongan pertama yang bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ialah  orang-orang Yunani.Tamadun Yunani merupakan satu tamadun  terawal yang wujud di atas muka  bumi ini. Kehebatan tamadun ini merangkumi semua aspek seperti bahasa, ekonomi, budaya dan politik. Kegiatan dalam pengkajian bahasa bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi. Disebabkan seluruh kehidupan mereka dibendung oleh falsafah, maka kajian mereka tentang bahasa banyak dipengaruhi oleh pemikiran yang berbentuk falsafah. Falsafah bahasa bermula pada zaman pra-Socrates, iaitu pada abad ke-6 sebelum masihi. Falsafah Bahasa merupakan satu teras kepada bermulanya satu falsafah yang menjadi pegangan dan kekuatan masyarakat ketika itu.
Tokoh hebat dalam pengkajian bahasa pada zaman Yunani ialah Plato dan Aristotle, iaitu murid Plato. Plato (427 – 347) merupakan ahli falsafah pertama yang mengenal pasti dan menyelidik bahasa sebagai suatu masalah dan persoalan melalui karyanya yang berbentuk dialog, iaitu Cratylus. Dialog Cratylus telah mencetuskan kontroversi berabad-abad lamanya, iaitu antara kumpulan analogis yang mempercayai bahawa bahasa bersifat alamiah, nalar dan logis dengan kumpulan anomalis yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bahasa tidak nalar sepenuhnya. Plato telah menimbulkan persoalan adakah ketepatan sesuatu nama berasaskan tabii dan realiti atau konvensyen, iaitu berdasarkan persetujuan masyarakat. Beliau juga menyelidik tentang tatabahasa yang membezakan antara kata nama dengan kata kerja. Plato telah meletakkan fungsi kata nama sebagai subjek kepada predikat dan kata kerja sebagai penerangan kepada perbuatan.
Ilmu linguistik terus berkembang pada zaman Aristotle tahun 384 – 322 sebelum masihi dengan menambah satu lagi pembahagian dalam tatabahasa, iaitu kata penghubung. Beliau memperkembang dan memperdalam pemikiran tentang falsafah bahasa yang diasaskan oleh Plato. Aristotle merupakan sarjana  yang mula-mula mengakui tentang adanya sistem kala atau tense dalam bahasa Yunani. Gagasan lain yang dikembangkan oleh Aristotle ialah fungsi bahasa sebagai alat, khususnya untuk retorik dan puisi. Beliau menganggap bahawa bahasa itu sebagai suatu juzuk dunia, tetap dan dapat diperoleh dalam tulisan yang menjadi subjek tatabahasa dan sebagai cara menunjukkan apa-apa sahaja yang ada di dunia yang menjadi subjek logika.
Secara umumnya, kita dapati bahawa kajian mengenai bahasa pada era Yunani lebih tertumpu kepada tatabahasa. Namun demikian, kaedah kajian mereka lebih bercorak logik dan bukannya saintifik.

06 Disember 2010

Teks Ucapan


    Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pengetua, Encik Syed Mazlan Muhamad, Cikgu Norlia Othman, guru-guru, dan rakan-rakan yang dikasihi. Selamat sejahtera dan selamat petang.
    Lebih dahulu saya mengucapakan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana mengadakan majlis yang meriah dan sungguh bererti buat saya ini.
    Sebenarnya saya juga tidak menduga akan meraih kejayaan yang sangat cemerlang ini. Terpilih sebagai Pelajar Terbaik bagi seluruh negeri Perak, akan abadi sebagai kenangan paling manis sepanjang persekolahan saya di sini. Sesungguhnya kejayaan ini ialah hasil dorongan, tunjuk ajar, dan kerjasama Pengetua, guru-guru, keluarga, dan rakan-rakan. Tanpa kalian, kejayaan ini tentunya sukar menjadi kenyataan.
    

Hadirin yang dihormati,
    Sebagai anak yatim yang sentiasa dalam kesempitan hidup, saya amat sedar akan perlunya usaha yang bersungguh-sungguh, cekal, rajin, dan tabah untuk mengubah corak hidup saya ke arah masa depan yang lebih cerah. Kepada ibu yang dikasihi, inilah juga tanda terima kasih saya terhadap pengorbananmu yang suci. Kepada adik-adik saya, susulilah jejak ini. Saya juga yakin rakan-rakan di dewan ini mampu berjaya seperti saya, malahan lebih lagi. Yakinlah bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
    Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada 14 orang lagi rakan saya yang berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan SPM yang lalu. Syabas juga kepada Pengetua dan guru-guru yang bertungkus-lumus membimbing kami sehingga memecah rekod sekolah, iaitu seratus peratus lulus.
    
Hadirin yang dihormati,
    Jika tiada aral melintang, pada bulan hadapan, daya akan berangkat ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran. Saya berjanji akan pulang dengan kejayaan yang lebih besar lagi. Insya-Allah!
    Akhir kata, sebelum saya mengundurkan diri, terima kasih sekali lagi kepada semua yang membuahkan kejayaan ini. Kejayaan saya ialah kejayaan kita bersama. Istimewa buat pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini, saya membekalkan semangat ini di sini. Semoga kalian mencatatkan prestasi yang lebih cemerlang. Sekian, terima kasih.