Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

22 Disember 2010

SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK


Dalam sejaran ilmu linguistik, golongan pertama yang bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ialah  orang-orang Yunani.Tamadun Yunani merupakan satu tamadun  terawal yang wujud di atas muka  bumi ini. Kehebatan tamadun ini merangkumi semua aspek seperti bahasa, ekonomi, budaya dan politik. Kegiatan dalam pengkajian bahasa bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi. Disebabkan seluruh kehidupan mereka dibendung oleh falsafah, maka kajian mereka tentang bahasa banyak dipengaruhi oleh pemikiran yang berbentuk falsafah. Falsafah bahasa bermula pada zaman pra-Socrates, iaitu pada abad ke-6 sebelum masihi. Falsafah Bahasa merupakan satu teras kepada bermulanya satu falsafah yang menjadi pegangan dan kekuatan masyarakat ketika itu.
Tokoh hebat dalam pengkajian bahasa pada zaman Yunani ialah Plato dan Aristotle, iaitu murid Plato. Plato (427 – 347) merupakan ahli falsafah pertama yang mengenal pasti dan menyelidik bahasa sebagai suatu masalah dan persoalan melalui karyanya yang berbentuk dialog, iaitu Cratylus. Dialog Cratylus telah mencetuskan kontroversi berabad-abad lamanya, iaitu antara kumpulan analogis yang mempercayai bahawa bahasa bersifat alamiah, nalar dan logis dengan kumpulan anomalis yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bahasa tidak nalar sepenuhnya. Plato telah menimbulkan persoalan adakah ketepatan sesuatu nama berasaskan tabii dan realiti atau konvensyen, iaitu berdasarkan persetujuan masyarakat. Beliau juga menyelidik tentang tatabahasa yang membezakan antara kata nama dengan kata kerja. Plato telah meletakkan fungsi kata nama sebagai subjek kepada predikat dan kata kerja sebagai penerangan kepada perbuatan.
Ilmu linguistik terus berkembang pada zaman Aristotle tahun 384 – 322 sebelum masihi dengan menambah satu lagi pembahagian dalam tatabahasa, iaitu kata penghubung. Beliau memperkembang dan memperdalam pemikiran tentang falsafah bahasa yang diasaskan oleh Plato. Aristotle merupakan sarjana  yang mula-mula mengakui tentang adanya sistem kala atau tense dalam bahasa Yunani. Gagasan lain yang dikembangkan oleh Aristotle ialah fungsi bahasa sebagai alat, khususnya untuk retorik dan puisi. Beliau menganggap bahawa bahasa itu sebagai suatu juzuk dunia, tetap dan dapat diperoleh dalam tulisan yang menjadi subjek tatabahasa dan sebagai cara menunjukkan apa-apa sahaja yang ada di dunia yang menjadi subjek logika.
Secara umumnya, kita dapati bahawa kajian mengenai bahasa pada era Yunani lebih tertumpu kepada tatabahasa. Namun demikian, kaedah kajian mereka lebih bercorak logik dan bukannya saintifik.

Tiada ulasan: