Tanggungjawab dan beban kerja guru yang semakin bertambah menyebabkan guru memainkan bermacam jenis peranan. Dalam menjalankan tugas sebagai pendidik, guru diperlukan membuat perancangan pengajaran, persediaan alat-alat mengajar, menyemak buku murid, menanda kertas peperiksaan atau ujian, mengawas peperiksaan, menghadiri mesyuarat, menghadiri kursus dan sebagainya. Mereka bukan sahaja menjadi guru tetapi juga bertugas sebagai kerani dalam mengendalikan urusan sampingan seperti urusan buku teks murid, hal ehwal kebajikan murid, disiplin murid, akaun persatuan dan kelab murid, kegiatan sukan dan ko-kurikulum murid dan berbagai lagi. Guru juga bertindak sebagai operator, ejen telekomunikasi, mengurus data maklumat, penggunaan ICT dan internet. Beban tugas yang banyak ini menyebabkan guru semakin tertekan. Oleh itu, guru memerlukan kompetensi pengurusan masa bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut. Antara kriteria guru berkesan ialah guru yang dapat mempamerkan mutu pengajaran yang baik dan dapat menjalankan tugas yang berkaitan dengan pengurusan dengan cara yang berturutan dan semula jadi dalam kedudukannya.
Ramai guru berpendapat beban tugas guru adalah sangat membebankan. Beban tugas yang banyak sebenarnya merupakan fenomena biasa dalam kehidupan pendidik. Kenyataan ini perlu dihadapi dan sedia diketahui sebelum guru tersebut memilih profesion perguruan. Beban tugas yang tidak diuruskan dengan sistematik akan menyebabkan berlakunya tekanan dan seterusnya menghasilkan mutu kerja yang mengecewakan apabila dibuat penilaian. Guru perlu pandai membuat perancangan dan strategi, membahagikan keutamaan urutan tugas dan tanggungjawab yang perlu dipelajari melalui pengalaman, pemerhatian dan bertanya kepada guru berpengalaman. Guru haruslah sedar atau beringat bahawa setiap langkah mereka sebenarnya dalam pemerhatian dan sentiasa dinilai. Pelajar kini semakin bijak dan boleh memberi penilaian dan tindak balas atas tindakan guru.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, :
“Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Berpandukan kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di atas, pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Matlamat pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahun, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan untuk keharmonian dan kemakmuran negara.
Untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama bukanlah suatu tugas yang mudah. Guru juga adalah insan biasa yang tidak sempurna, mempunyai banyak kelemahan. Walau bagaimanapun, seringkali para ibu bapa memberi tanggungjawab penuh kepada guru-guru untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka. Namun, sekiranya terdapat kejadian ataupun masalah akademik, ataupun masalah disiplin di kalangan pelajar, pihak ibu bapa serta media massa sentiasa menuding jari pada guru-guru kerana gagal mengatasi masalah tersebut.
Negara juga bergantung sepenuhnya kepada guru yang dianggap sebagai pemangkin sistem pendidikan. Oleh itu para guru perlu bersedia melaksanakan pelbagai usaha bagi menjayakan aspirasi negara. Dasar negara yang kini menekankan kepada “k-workers” atau pekerja berilmu pengetahuan jelas menunjukkan bahawa pekerja berilmu pengetahuan adalah aset terpenting negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan