Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

22 Januari 2012

Kaum Kedayan di Sabah


Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan mempunyai pelbagai kepercayaan, adat resam dan agama. Mengikut analisitik diianggarkan terdapat lebih 30 kumpulan etnik di Sabah. Antara kumpulan etnik utama ialah Kadazandusun, Rungus,Bajau, Melayu-Brunei, Murut, Suluk, Orang Sungei , Kedayan, dan Bisaya. Dalam kajian ini kaum Kedayan merupakan kumpulan etnik yang serumpun dengan bangsa Melayu di Semananjung dan Sarawak.

Sejarah asal-usul
Hasil kajian ini,kita mendapati banyak teori yang menjelaskan tentang asal-usul kaum Kedayan ke Sabah.  Terdapat sumber menyatakan Kedayan merupakan bangsa campuran Orang Jawa dan Masyarakat Melayu Brunei . Sumber ini merujuk kepada  peristiwa Sultan Brunei Ke 5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang pada ketika itu singgah di tanah Nusantara seperti di Kepulauan Jawa, Sumatra, Kalimantan dan termasuklah  di tanah Jawa[1]  Sultan Brunei telah  menyaksikan aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan menawarkan mereka untuk menetap di Brunei.

Keterangan ini juga merujuk kepada kenyataan tulisan Harrison and Harrison [2]1956 turut menjelaskan kewujudan kaum Kedayan dating dari Jawa Majapahit ketika itu dipercayai bermula pada abad ke-14 dan ke-15 di Kota Batu Brunei. Di sinilah bermulanya ikatan pertalian dan persaudaraan orang Jawa melalui perkahwinan campur dengan Masyarakat Melayu Brunei sehingga pada masa kini kaum Kedayan banyak menetap di Daerah Temburong, Tutong, Belait,Bandar Seri Begawan dan Muara (Jerudong). Pada keagungan tamadun Brunei kaum Kedayan ini telah  berpindah-randah sehinggalah mereka berkembang ke  Sabah dan  Sarawak.

Dalam pada itu sejarah dan kebudayaan Melayu (1995 : 1120) pula mencatatkan bahawa terdapat sumber lisan yang menyatakan orang Kedayan ini berasal dari Indonesia. Setelah beberapa abad mereka menetap di Brunei, mereka berhijrah ke Sabah dan Sarawak. Sehingga ini, pengkaji yang membuat penyelidikan atas asal usul orang Kedayan sering mengaitkan tempat nenek moyang suku kaum ini dengan kepulauan Indonesia, khususnya dari Jawa.
Namun Hose (1912) dalam kajian sejarah suku kaum Kedayan mendapati bahawa suku kaum ini mempunyai pertalian darah dengan pribumi di Kalimantan, oleh itu beliau mencapai keputusan bahawa orang Kedayan berasal dari Kalimantan[3].-

Sejarah kedatangan kaum Kedayan ke Sabah bermula dari Selatan Negeri Sabah apabila kawasan ini menjadi sebahagian daripada pemerintahan kerajaan Brunei ketika itu. Kawasan-kawasan yang terlibat ialah di Kg Malintaman (Merintaman), Kg Ulu Sipitang,, Mesapol, Kg. Banting dan Kg Luagan di Sipitang  merupakan antara penempatan kaum Kedayan terbanyak di Sabah. Selain itu kaum ini juga terdapat di Mempakul dan Limadan di Kuala Penyu, Kg.Lingkungan , Kg.Inuman dan Kg.Bukau di Beaufort. Manakala di Papar kaum ini terdapat di Kg.Kelanahan dan Kg Kelatuan.

Dalam tinjauan  yang dibuat di Kg Banting Sipitang,mendapati bahawa sesetengah warga tua yang menetap di kampung berkenaan menyatakan cerita lisan yang diwarisi turun-temurun mendapati bahawa kedatangan kaum Kedayan di Sabah bermula di Kampung Banting ini. Ianya bermula apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Kedayan dari  Brunei Darusalam, dan Limbang Sarawak. Cerita ini didukung oleh cerita lisan yang disebarkan dari mulut ke mulut (oral literature) dan menjadi  genre cerita rakyat dan legenda. Begitupun ada juga mengatakan kedatangan kaum ini ke Sabah semasa kegemilangan  Kesultanan Brunei telah membawa banyak penduduk dari Negara itu untuk menetap di Sipitang terutamanya di Mesapol dan di kawasan persisiran pantai barat di Sabah.
             
            Setakat ini, tidak banyak kajian dilakukan ke atas orang Kedayan baik yang dilakukan oleh sejarawan atau ahli antropologi. Salah seorang pengkaji sejarah dan budaya orang Kedayan ialah Allen Richmond  Maxwell JR. Beliau telah melakukan penyelidikan penuh peringkat PhD-nya atas budaya suku Kedayan di Lembah Labu, Brunei Darussalam yang berjudul Urang Darat, An Ethnographic Study of The Kedayan Of Labu Valley, Brunei, Yale University[4]. Di samping itu, Maxwell (1980) juga menghasilkan sebuah tulisan yang berjudul "On the Various Spelling of the Word Kadayan" (Brunei Museum Journal, Vol. 2, 1970), berhubung dengan pelbagai ejaan dan panggilan orang Kedayan.. Akibatnya terhasilah bermacam-macam ejaan yang berlainan seperti "Kadaian", "Kadayan", "Kadian", "Kadien", "Kadyan", "Karayan", "Kedyan", "Kedien" dan "Kerayan". Bagaimana pun pada masa kini, hampir semua bahan cetak termasuk Kamus Dewan, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu menggunakan ejaan "Kedayan".

Selain Maxwell, tidak banyak kajian secara teliti telah dilakukan atas sejarah dan budaya suku kaum ini. Menurut Bantong Antaran (1985), bahawa asal nama Kedayan itu telahpun wujud bersama-sama dengan kewujudan kesultanan Brunei. Pada mulanya, semua penduduk Brunei hanya lebih dikenali sebagai ‘Melayu’ dan tidak mempunyai suku kaum yang dipanggil atau dikenali sebagai Kedayan ketika sebelum wujudnya kesultanan Brunei ketika itu.
           
            Di Sipitang Sabah, penduduk pertama yang menetap di situ dikenali sebagai ‘orang darat’ ialah masyarakat Kedayan dan Lundayeh[5]

Sosiobudaya ,Adat resam, Sistem sosial,dan Pendidikan     
Sosiobudaya  masyarakat Kedayan di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya. Pada kebiasannya budaya hidup masyarakat ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan masyarakat yang akan membimbing golongan muda mengenai peraturan,adat resam, agama serta kepercayaan yang telah diwarisi mereka sejak turun-temurun. Pada umumnya seseorang individu itu akan lebih memahami sosiobudaya hidup masyarakat mereka melalui pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah sehinggalah kepada komuniti tersebut.
  
Pada kewujudan kaum Kedayan,kaum ini mempunyai tempat tinggal yang dipunyai oleh dua kelompok yang berbeza dan berasingan, iaitu yang tinggal di pesisiran pantai dan kuala sungai yang bekerja sebagai nelayan.Manakala satu kelompok lagi mendiami kawasan pendalaman dan bekerja sebagai petani dan pesawah. Kehidupan tradisi masyarakat Kedayan adalah bergantung kepada kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional seperti mengusahakan sesuatu bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan harian.

Begitupun pada ketika ini kegiatan ekonomi masyarakat Kedayan ini telah berubah dan menjadi moden berbanding  kehidupan masyarakat dahulu. Kedayan sekarang ini lebih banyak bergantung atau bekerja dengan Kerajaan dan juga dalam sektor swasta. Jika adapun,masyarakat Kedayan yang masih melakukan aktiviti seperti bertanam hanyalah sebahagian orang-orang tua yang hanya bertujuan untuk mengisi masa lapang dan untuk keperluan mereka sahaja. Corak kehidupan tradisi masyarakat Kedayan mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam bidang pertanian . Kegiatan pertanian ini telah dijadikan sebagai sumber pendapatan yang utama bagi kehidupan puak Melayu Kedayan ketika itu.

Antara aktiviti pertanian yang mereka usahakan ialah penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan menternak haiwan peliharaan seperti ayam dan itik.  Aktiviti lain yang turut diusahakan termasuklah memburu binatang kerana faktor geologi dan kedudukan penempatan yang dikelilingi hutan telah mendorong kegiatan ini. Salah satunya ialah mundul taipas (taripas). Selain itu kedudukan mereka di persisiran pantai dan tepi sungai juga telah mendorong kegiatan ekonomi lain seperti menangkap ikan dengan cara tradisional. Salah satunya mereka akan memancing ikan dengan menggunakan peralatan tradisi seperti bubu, jala dan siyut untuk ikan air tawar dan menggunakan pukat dan ancau apabila menangkap ikan di laut.

Peraturan dan Adat Resam.
Masyarakat Sabah sememangnya  kaya dengan adat resam dan pantang larang hidup yang tersendiri. Hal ini telah menjadikan adat dan pantang larang sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian masyarakat bumiputera di Sabah. Amalan adat dan pantang larang dalam sesebuah masyarakat ini bertujuan memelihara dan menjamin kesejahteraan hidup.
           
            Masyarakat Kedayan seperti juga halnya dengan masyarakat Melayu di Semananjung Malaysia dan Sarawak mempunyai adat dan budaya yang sama serta saling mempercayai dan mematuhi undang-undang adat. Jika seseorang itu tidak mematuhi undang-undang adat yang ditetapkan, maka sesuatu perkara yang tidak baik serta malapetaka akan menimpa masyarakat tersebut. Begitupun ianya Terdapat beberapa undang-undang adat yang menjadi amalan penduduk di Sabah. Antaranya yang berkaitan dengan pertanian, perkahwinan, dan kematian.

Adat Pertanian
Faktor geografi dan lokasi setempat masyarakat Kedayan telah mendorong kepada kegiatan sosioekonomi  dalam bidang pertanian, memburu dan nelayan. Penanaman padi  merupakan pekerjaan utama masyarakat ini sehingga kini masih lagi mengamalkan pertanian tradisi. Sebelum menanam dan ‘mengatam’ (menuai)  padi dijalankan kawasan penanaman padi terlebih dahulu di’tetakan’ (dibaca doa) oleh seorang pawang dengan cara manangas (Membaca ayat suci atau doa) di sekeliling kawasan padi padi empat penjuru.

            Apabila padi telah masak petani-petani ini akan batulong-tulongan (bantu-mambantu) mengatam padi.  Padi yang telah diketam (dituai) akan di simpan di dalam durong  iaitu sebuah tempat yang dibuat untuk berehat dan menyimpan padi. Kerabau masih digunakan untuk membantu petani mengangkut hasil padi begitu juga sebagai jentera untuk membajak sawah. Secara tradisinya para petani ini juga akan menggunakan alat galok (sabit) untuk mengetam (menuai) padi .

            Di samping itu para petani Kedayan juga melakukan aktiviti mundul taipas (cara menangkap burung taripas). Aktiviti ini sememangnya telah terkenal di kalangan kaum Kedayan. Untuk menangkap burung ini mereka akan menggunakan jaring mengikut cara tradisi mereka. Selain itu memburu payau (rusa) juga merupakan pekerjaan rutin pada musim menuai .

            Bagi penduduk Kedayan yang tinggal di persisiran pantai dan di tebing sungai pula lebih cenderung kepada aktiviti nelayan. Sama halnya seperti nelayan-nelayan dari suku kaum yang lain nelayan Kedayan menjalankan aktiviti mengangkap ikan dengan menggunakan rambat (jala), pukat, bujak (lembing), bubu, babang dan manimba untuk menangkap ikan. Gubang  (perahu kecil)dan perahu merupakan sejenis pengangkutan air yang popular, juga akan digunakan untuk mengangkap ikan. Gubang juga telah menjadi kenderaan pengangkutan utama suatu ketika dahulu untuk mengangkut hasil tanaman dan makanan seperti padi dan beras.

Adat Perkahwinan
Setiap kumpulan etnik di Sabah mempunyai adat tersendiri dalam menjalankan upacara perkahwinan. Bagi masyarakat Kedayan, adat perkahwinan adalah sama seperti juga masyarakat Melayu. Umumnya adat sesebuah perkahwinan masyarakat ini dimulakan dengan berjarum-jarum (merisik) di mana keluarga laki-laki dating ke rumah bini-bini (perempuan).

"Adat perkahwinan masa dulu ani ialah kepala baiyairinya ialah kinkin pembuka mulut kayis laki-laki yang mengantati arah bini-bini karang ani inda lagi ada usuri sebagai penggantinya mun kelangkahan dulang adik kahwin dulu bagi yang bini-bini yang laki-laki inda pulang ada bagi kelangkahan dulang laki-laki ani masti bagi kinkin kepada yang dilangkahi dulang atu sepasang seorang tu sama seperti yang di bagi kepada pengantin perempuan kalau bangsa lani lagi banyak ankup dangan sepasang kasut kinkin sebantuk dan tudung dulang jua tanda bertunang kinkin sebantuk pembuka mulut seperti basar-basar jarum atu mulanya seratus saja belanja hangus kaban lima belas ijib saja seekong jadi kira mulanya belanja karun masa dulu atu."

oleh Piah Bte Karim (umur 70 tahun, 2000), Limbang, Sarawak.

Selepas itu diikuti dengan bersarang gundih (meminang) dengan membawa sebentuk kinkin (cincin). dan acara mengantat barian (hantaran kahwin). Mengantat berian ini biasanya bakal pengantin laki-laki akan memberi wang hantaran bersama seikung kerabau (seekor kerbau).Seterusnya apabila kata sepakat telah dicapai majlis nikah  akan dilangsungkan dengan diikuti majlis bertimbang (bersanding).

Seminggu sebelum majlis kahwin diadakan memucang (gotong-royong) kalangan keluarga terdekat dan jiran datang untuk membuat persiapan perkahwinan. Biasanya memucang ini dilakukan bagi mempersiapkan khemah, dapur memasak (tempat mendadih) dan membuat kuih-muih. Sehari sebelum majlis perkahwinan pula majlis mendadih (memasak) iaitu mengelupis (sejenis makanan seperti ketupat yang diperbuat daripada pulut) . Menyembelih kerbau secara berami-ramai seringkali dilakukan untuk dijadikan lauk-pauk semasa jamuan makan. Daging kerbau tersebut seterusnya dipotong-potong dengan mengarap (mencincang) biasanya dilakukan oleh kaum wanita secara beramai-ramai.

Adat bagi pengantin perempuan (bini-bini) pula, terlebih dahulunya sebelum menjelang saat perkahwinan orang-orang tua telah memberikan beberapa petua dan adat tradisi yang mesti dipatuhi. Umpamanya mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan wajah dan kulit bakal pengantin perempuan. Sesetengah adat pula melarang bakal pengantin perempuan ini keluar rumah selama satu atau dua minggu sebelum majlis perkahwinan. Adat ini mesti dipatuhi kerana khuatir akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku ke atas bakal pengantin.

Pada malam selepas diijab Kabul (nikah) pula dilangsungkan majlis malam bebadak (majlis berinai) . Pada malam ini majlis disertai bacaan berzanji,  merhaban dan selawat ke atas nabi s.a.w. Majlis merenjis pengantin akan dilakukan oleh kaum keluarga dan jiran yang hadir dalam majlis ini semasa selawat nabi dialungkan. Selepas itu diadakan pula acara bergambus (tari-menari) dan dan pada ketika ini diadakan juga acara karaoke. Menjelang larut malam pula diadakan acara Mukun atau Bergendang..Acara ini sangat popular pada ketika dahulu di mana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana sambil berpantun seloka, berbalas-balas dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk berbalas pantun. Kaum Kedayan merujuk pantun sebagai pantun atau sabut-sabutan (walaupun kebanyakannya merujuk teka-teki)Si  penjual pantun pula akan menyampaikan pantun dengan intonasi dan suara mengikut rentak gendang yang dialunkan.

Biasanya kaum wanita yang menjual pantun untuk dibalas oleh golongan lelaki, tidak kira tua mahupun muda. Begitupun lain pula halnya bagi pengantin, seluruh badannya akan disapu dengan dadak (bedak yang diperbuat daripada beras dan semua jari tangan dan kaki akan dipacari (inai).

Pada hari majlis perkahwinan diadakan jamuan makan kepada semua yang hadir dan yang dating pula akan membawa buah tangan untuk diberi kepada pihak pengantin. Mandi pengantin dilakukan dengan beradat sambil diiringi  dengan pukulan gulintangan dan rempana. Seperti juga dengan tradisi masyarakat Melayu, pengantin lelaki yang akan bertandang ke rumah pengantin perempuan akan diiringi oleh kumpulan rempana(kompang) dambil membawa bunga manggar. Pengantin lelaki ini akan ditunda (dipimpin) dengan menggunakan saputangan oleh seorang imam atau orang yang dianggap layak memimpinnya. Majlis bertimbang ( bersanding) dilakukan dari atas pelamin sehinggalah  ke luar rumah supaya yang hadir dapat menyaksikan kedua-dua pengantin tersebut. Pada malam itu pula pasangan pengantin ini dilarang tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Selain itu acara maliwan (Pengantin lelaki akan membawa isteri bersama rombongan balik ke rumahnya) diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.

Adat Kenduri
Kenduri ialah majlis membaca doa dengan menjemput saudara mara dan jiran terdekat dan disajikan dengan jamuan makan selepas membaca doa. Kenduri yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Kedayan ialah kenduri doa selamat bagi menyatakan maksud mensyukuri setelah mendapat sesuatu dan kenduri ini biasanya dibuat selepas mengatam padi. Begitu juga halnya dengan kenduri menyambut kelahiran bayi, kenduri gunting rambut bayi, kenduri selepas berkhatan dan kenduri doa arwah iaitu kenduri mengingati keluarga yang telah meninggal dunia. Selain itu ada juga sesetengah orang tua yang masih mempercayai kenduri membaca doa tolak bala kerana rumah dimasuki oleh binatang liar seperti ular dan biawak.

Adat kelahiran
Biasanya adat kelahiran ini adalah berpandukan kepada hukum dan syariat dalam Islam. Anak  yang baru dilahirkan akan dibangkan (diazankan) oleh bapa atau lelaki terdekat kepada anak berkenaan). Seterusnya akikah dilaksanakan sebagai perkara sunat mengikut Islam bagi anak yang  baru dilahirkan itu. Adat bercukur pula dilakukan apabila anak tersebut telah melangkui usia 1 bulan diadakan secara beramai-ramai dengan melagau (memanggil) saudara mara dan jiran terdekat .

Adat ini biasanya diadakan bacaan berzanji, merhaban dan berselawat ke atas nabi sambil anak tersebut dipotong beberapa helai rambut dan ditabur beras kunyit dan direnjis dengan wangi-wangian. Adat kelambiji (bersunat) juga masih dilakukan sehingga ke hari ini. Majlis ini biasanya dilakukan selepas anak lelaki tersebut berkhatan. Majlis yang dilakukan sama seperti majlis cukur rambut.

Adat Kematian
Apabila seseorang itu telah menginggal dunia, beberapa kepercayaan dan telah menjadi amalan sunnah yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Ianya dilakukan adalah bagi mendoakan si mati semoga roh simati diampuni dosa dan sejahtera. Sebagai memenuhi tuntutan agama masyarakat Kedayan akan mengadakan majlis ini dengan menjemput saudara mara dan jiran untuk mengadakan sembahyang di rumah si mati selama tujuh hari berturut-turut. Selepas itu diadakan kenduri tiga hari diikuti Makan Tujuh hari (kenduri hari ke tujuh) dan kenduri makan empat puluh hari. Kenduri Jumat-jumatan (setiap malam Jumaat) juga diadakan sehingga empat puluh hari tadi.  Ini diikuti dengan kenduri  haul (ulang tahun kematian) yang akan diadakan pada setiap tahun bagi mengenang kemangkatan si mati.

            Kenduri arwah juga turut diadakan pada setiap tahun menjelangnya bulan Syaaban (taqwim Islam) dan biasanya selepas Nisfu Syaaban sebelum menjelangnya Bulan Ramadhan.

Pendidikan
Masyarakat Kedayan di Sabah menerima pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal dipelajari oleh kanak-kanak melalui keluarga atau masyarakat yang bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Pada peringkat ini kanak-kanak telah diajar cara-cara seperti memancing, memanja, berburu, bertukang, menyumpit,bersawah, dan berternak. Pendidikan ini bermula dengan mengajar  kanak-kanak mempelajari kemahiran ini bagi membolehkan mereka berdikari apabila dewasa kelak.
Atas kesedaran mengenai dengan kepentingan pendidikan bagi anak-anak, masyarakat Kedayan juga tidak ketinggalan bagi memberikan pendidikan yang tinggi kepada anak-anak mereka. Anak-anak telah dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan yang amat berguna suatu masa kelas di samping dapat mengubah kehidupan mereka sebelum ini yang hanya mengharapkan kepada bercucuk tanam sahaja.
            Pendidikan secara formal pula amat terhad dan hanya tertumpu pada pendidikan agama Islam seperti membaca al-Quran dan menulis jawi yang diadakan di surau, pondok, serta rumah guru agama. Begitupun pendidikan sekular tidak diabaikan dan menjadikan pendidikan ini sebagai wajib kepada anak-anak masyarakat Kedayan bagi menghadapi masa depan. Anak-anak masyarakat Kedayan mendapat pendidikan asas ini dengan belajar secara formal di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta. Pada peringkat umur 3 hingga 6 tahun anak-anak ini telah menduduki sekolah di Taman Didikan Kanak-kanak ( TADIKA), Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan di sekolah-sekolah swasta.
           
            Pada peringkat 7 hingga 12  tahun anak-anak masyarakat Kedayan menerima pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan dan sehinggalah ke sekolah menengah (13 hingga 17) tahun. Selain itu juga pendidikan masyarakat ini juga telah mendapat pendidikan sehingga mencapai ke peringkat ijazah.dengan mengikuti program pensiswazahan di universiti-universiti tempatan dan luar negara.


[1] http://eyamkedayan.blogspot.com/2008/05/asal-usul-kedayan.html
[2] Harrison & Harrison,1970
[3] En. Low Kok On, BA., MA. (USM)2000, Pensyarah Sastera Rakyat.

[4] A.R.Maxwell Jr.research for PhD(Yale University) on linguistic of Kadayan in Brunei
[5] Amde Sidik ,The Mystic of Borneo Kedayan,Kota Kinabalu: Borneo Publishers,2007.

Tiada ulasan: