Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

24 November 2012

Teknik ASSDA+MCUS membantu meningkatkan kemahiran menulis nilai murni


PENGGUNAAN ASSDA DAN MCUS  MEMBANTU MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA ULASAN  NILAI MURNI TAHUN LIMA 
1.0       ABSTRAK

Kemahiran menulis merupakan kemahiran kognitif yang kompleks dan menjadi masalah kepada murid-murid kerana kurang memahami cara menulis ayat majmuk. Untuk menghasilkan ulasan nilai murni yang baik, murid-murid perlu menggunakan penanda wacana dan kata bantu yang sesuai. Sehubungan dengan masalah itu telah mendorong kajian ini dilakukan terhadap 25 orang murid Tahun Lima  yang terdiri daripada 13 orang lelaki dan 12 orang murid perempuan. Kajian ini menumpukan kepada  kemahiran membina ayat ulasan dengan menggunakan penanda wacana dan  kata bantu yang betul dalam ayat ulasan nilai murni. Dengan memperkenalkan teknik  ASSDA + MCUS telah membantu murid menulis  ulasan nilai murni dengan ayat majmuk. Dapatan kajian menunjukkan perubahan dan penggunaan teknik ini telah dapat mengatasi kelemahan murid. Kajian ini juga dapat membantu murid menulis ayat yang lengkap dan menepati petikan yang dibaca. Murid - murid juga dapat memperoleh markah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Kajian ini juga mencadangkan kemahiran menulis ulasan nilai murni dengan menggunakan teknik ini akan dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang.
Kata Kunci  :  nilai murni, ayat majmuk, penanda wacana, kata hubung, kata bantu.


2.0       PENDAHULUAN
Kemahiran menulis adalah satu bentuk kemahiran berbahasa dan berkomunikasi yang penting kerana kemahiran menulis berkaitan dengan dua perkara iaitu kemahiran meluahkan idea agar dapat dibaca dan kemahiran menggunakan lambang tulisan bagi mencatatkan idea tersebut.
Kemahiran  menulis ini juga merupakan  salah satu kemahiran  bahasa yang  ditekankan dalam Kurikulum Bersepadu Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Dalam kurikulum baru, kemahiran menulis merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid-murid kerana ia merupakan kemahiran yang paling kompleks.
Kamaruddin Hj. Husin (1988), tulisan ialah bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi. Jika tulisan itu dibunyikan semua ia dikatakan bahasa. Tulisan ialah alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan. Ia merupakan bahasa yang tersusun yang berupa rangkai-rangkai kata dan ayat-ayat. Menulis ialah proses memberikan simbol-simbol grafik bagi melambangkan bahasa dalam menyusun perkataan, rangkai kata, ayat dan seterusnya unit-unit yang lebih panjang mengikut peraturan-peraturan tertentu dengan menunjukkan wacana dan pelahiran idea yang jelas tersusun.
               
Menurut Raminah Hj. Sabran (1985), penulisan ialah proses pelahiran perasaan, fikiran, dan idea ke dalam bentuk grafik (disusun sehingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya).
Yahya Othman(2005) berpendapat, penulis itu dapat memberikan kefahaman kepada pembaca apabila penulis itu dapat menguasai kemahiran menulis secara mendalam dalam bidang penulisan. Penulisan tentang sesuatu yang disampaikan itu juga dapat menyatakan pandangan atau idea dalam bentuk penulisan supaya memberikan kefahaman kepada pembaca.
Juriah Long dan rakan-rakan (1990), menulis adalah suatu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea atau pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan bentuk grafik. Ini bermakna, bahan-bahan yang ditulis adalah suatu idea yang tersirat dan tersurat apabila dijelaskan dalam bentuk penulisan.      

3.0       FOKUS KAJIAN
Kajian ini berfokus kepada masalah menulis ulasan nilai murni pada bahagian C Bahasa Melayu berdasarkan petikan. Memandangkan masalah murid-murid dalam menulis ulasan nilai murni berpunca daripada kurang mahir dalam penulisan maka pengkaji mengambil inisiatif ini untuk mengetengahkan kajian ini bagi membantu murid-murid supaya dapat menulis ulasan yang baik dan cemerlang.
Kajian A.  Chellamal  Bagavathy (2005), guru-guru bahasa kerap menghadapi masalah dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana murid-murid sukar untuk memahami penulisan. Pencapaian dalam karangan masih kurang memuaskan disebabkan faktor kelemahan murid, sikap kurang   berminat   terhadap   pelajaran,   kelemahan   strategi   pengajaran, kesilapan memilih tajuk, kekurangan isi, pembahagian perenggan, tidak merangka karangan, pengulangan isi, kesalahan tatabahasa, kesuntukan masa, tidak mengikut jumlah perkataan, tidak dapat mengenal pasti format dan penggunaan bahasa dialek.
Manakala Nadzeri Isa (2001) iaitu penggunaan bahan rangsangan dalam pengajaran penulisan karangan telah berjaya meningkatkan prestasi penulisan karangan dalam kalangan murid. Sehubungan dengan itu, bahan rangsangan (petikan) nilai murni yang disediakan hendaklah  sesuai dan mudah difahami oleh murid.  Sehubungan itu pengkaji mengambil inisiatif ini untuk mengetengahkan kajian ini bagi membantu murid-murid supaya dapat menguasai kemahiran menulis ulasan nilai murni yang baik dan cemerlang.

4.0       OBJEKTIF KAJIAN

 4  .1    Objektif Umum
Meningkatkan  kemahiran menulis ulasan  nilai murni dengan menggunakan teknik ASSDA dan MCUS.

4.2       Objektif Khusus
      i.        Meningkatkan kemahiran menulis ulasan nilai murni dengan menggunakan teknik ASSDA, MCUS dan kata bantu
     ii.        Membantu meningkatkan kemahiran menulis ulasan nilai murni dengan menggunakan ASSDA, MCUS dan kata bantu.
    iii.        Meningkatkan prestasi murid dalam penulisan Bahasa Melayu kertas 2 bahagian C.

4.3       Persoalan Kajian
Kajian tindakan dilaksanakan untuk menjawab soalan- soalan seperti berikut:
              i.        Adakah murid-murid dapat meningkatkan kemahiran menulis ulasan nilai murni pada bahagian C ?
             ii.        Adakah dapat membantu meningkatkan kemahiran menulis ulasan nilai murni dengan menggunakan ASSDA, MCUS dan kata bantu.?
            iii.        Adakah murid- murid boleh meningkatkan prestasi dalam penulisan Bahasa Melayu kertas 2 bahagian C?

5.0       KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan 25 orang pelajar Tahun Lima  yang terdiri daripada 13 pelajar lelaki dan 12 pelajar perempuan.

Tiada ulasan: