Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

01 Julai 2013

Ujian SEGAK



Pengenalan


Program penilaian  Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia ( SEGAK ) ini telah dirancang selari dengan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Menengah.

 Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah sedentari.  Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa berasa letih dan lesu. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.

 “SEGAK” mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya ke sekolah mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil ujian ini akan mendapat pengiktirafan sijil secara peperiksaan berpusat.

Rekod penilaian kecergasan memberi maklumat tentang tahap kecergasan murid. Ujian yang dijalankan secara sistematik perlu diadakan dua kali setahun dan diharap dapat memotivasikan murid mengamal gaya hidup sihat.  Murid akan lebih bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kesejahteraan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 


 Definisi Kecergasan Fizikal

“Kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan daripada ancaman penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, kemahiran dan sebagainya.”
Falls, 1980

Matlamat

 Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal yang optimum.

 Objektif

Murid dapat :
1.       mengetahui kepentingan kecergasan fizikal;
2.       melakukan ujian kecergasan yang dirancang oleh pentadbir sekolah;
3.       menganalisis, mengintepretasi dan menyimpan rekod kecergasan fizikal individu;
4.       melakukan tindakan susulan untuk meningkatkan kecergasan fizikal individu melalui perancangan aktiviti kecergasan secara sistematik; dan
5.       pengiktirafan tahap kecergasan individu berdasarkan prestasi semasa.

Prosedur
Semua murid perlu menjalani ujian-ujian kecergasan fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, keupayaan murid dan mengambilkira peralatan serta tempat ujian dijalankan. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.

Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Guru melatih murid terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka.  Ujian ini mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan.  Urutan item bateri ujian adalah seperti berikut;
 1.                  Naik Turun Bangku ( 3 minit )
2.                  Tekan Tubi ( 1 minit )
3.                  Ringkuk Tubi Separa (1 minit )
4.                  Jangkauan Melunjur

Ukuran antropometrik untuk mendapatkan Indeks Jisim Badan perlu dibuat sebelum melakukan ujian ini.
 Ujian yang dicadangkan ini boleh digunakan sebagai aktiviti latihan kecergasan. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos.
 Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.

Persediaan
1.       Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani ujian, khasnya dalam latihan aerobik.
2.       Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan secukupnya sebelum menjalani ujian.

Keselamatan
1.       Murid  dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :
(a)    disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak mengambil ujian kecergasan fizikal;
(b)   mengidap penyakit kronik; dan
(c)    tidak sihat pada waktu ujian.
2.       Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat dan berfungsi dengan baik.
3.       Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan jenis ujian yang hendak dijalankan.
4.       Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.
5.       Pengawasan guru diutamakan semasa ujian dilaksanakan.
6.       Murid melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas ujian dilaksanakan.
Prinsip Latihan
Untuk mengelakkan kecederaan dan meningkatkan prestasi, murid perlu mematuhi prinsip-prinsip latihan kecergasan seperti berikut:

1.         Prinsip tambah bebanan
Ketika menjalani latihan, penambahan beban perlu dibuat secara beransur-ansur berdasarkan kemampuan agar tidak mendatangkan kecederaan.  Keadaan ini melatih otot bekerja lebih kuat seterusnya meningkatkan kecergasan.
2.         Prinsip perbezaan individu
Kemampuan dan keupayaan individu adalah berbeza.  Guru harus menyesuaikan aktiviti latihan mengikut keupayaan individu.
 3.         Prinsip kekhususan
Latihan fizikal yang dijalankan perlulah diberikan berdasarkan keperluan kecergasan individu dan jenis sukan yang diceburi.
 4.         Prinsip kebolehbalikan
Kesan atau hasil latihan bukanlah sesuatu yang kekal. Sekiranya latihan tidak dilakukan secara berterusan, penurunan dalam prestasi akan berlaku.
 5.         Prinsip kepelbagaian latihan
Program latihan perlu dipelbagaikan untuk mengekalkan minat individu dalam sesuatu aktiviti bagi mengelakkan kebosanan.

Aktiviti Memanaskan Badan
Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum memulakan ujian kecergasan ini seperti;
1.                              Regangan otot bahu, tangan, pinggang dan kaki.
 2.                              Lari setempat, lompat, skip atau turun naik bangku. 

Aktiviti Menyejukkan Badan

Murid mesti melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas melakukan ujian kecergasan seperti;
1.                  Berjalan perlahan-lahan selama 3 minit.
 2.                  Regang otot bahu, tangan, pinggang dan kaki perlahan-lahan.

Pelaporan

1.   Murid perlu merekod hasil ujian mereka.
2.   Guru mengesahkan ujian yang telah dilakukan oleh murid.
3.   Guru melaporkan hasil ujian dalam laporan Penilaian Kendalian Sekolah.

Tiada ulasan: