Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

22 Januari 2012

Kaedah Pengajaran


Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yang bersistem atau yang biasa). Kaedah juga ialah satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.
           
Menurut Mangantar Simanjuntak (1982), Kaedah ialah satu rencana (prosedur) yang menyeluruh untuk mengajar sesuatu bahan bahasa, yang secara keseluruhannya mestilah didasarkan kepada pendekatan yang di gunakan.

Parera (1986) pula berpendapat Kaedah ialah satu rancangan menyeluruh untuk menyampaikan secara teratur bahan-bahan bahasa, tidak ada bahagian-bahagiannya yang saling bertentangan dan semuanya berdasarkan kepada pendekatan

Manakala Ishak Ramly (2006), berpendapat Kaedah ialah satu rancangan tentang apa yang akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran. 

Antara kaedah yang dicadangkan untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran guru adalah seperti berikut:
Kaedah natural
Kaedah tatabahasa terjemahan
Kaedah terus (askar)
Kaedah ajuk hafaz
Kaedah linguistik
Kaedah kod – kognitif
Kaedah situasional
Kaedah bahasa komunikatif
Kaedah oral – Aural



01.Kaedah  Tatabahasa Terjemahan

Kaedah  Tatabahasa Terjemahan (Kaedah Nahu Terjemahan) yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai  Kaedah NahuTradisional dipelopori oleh Panini yang berasal dari India. Menurut teori ini, bahasa ialah ucapan, buah fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara.ia juga sangat mementingkan bahasa tulisan. Penutur juga adalah diwajibkan mematuhi peraturan dan sebarang kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan. Pengajaran pula banyak tertumpu kepada nahu terjemahan.

            Kaedah Tatabahasa Terjemahan ini dimulakan dengan peraturan-peraturan, perbendaharaan kata bersendirian, paradigma dan terjemahan-terjemahan perbendaharaan kata dibahagikan ke dalam senarai perkataan-perkataan untuk dihafaz. Penyebutan boleh jadi tidak diajar atau terhad kepada pengenalan-pengenalan sahaja, rumus-rumus tatabahasa dihafaz sebagai unit-unit yang biasanya mengandungi ayat-ayat.

            Guru memberi penerangan kepada murid berhubung undang-undang  kemudiannya memberi misalan dan undang-undang nahu ini perlu dihafalkan oleh murid. Untuk itu juga murid-murid  diberi  senarai perbendaaraan kata yang perlu dihafal.

Dalam pembelajaran bahasa kedua senarai perbendaharaan ini dipasangkan dengan makna dalam bahasa kedua. Murid-murid pula  kemudiannya disuruh membuat ayat-ayat dengan menggunakan senarai perbendaharaan kata itu berdasarkan undang-undang yang telah dipelajari. Murid – murid juga dikehendaki membuat terjemahan ayat-ayat daripada bahasa asing atau bahasa kedua ke bahasa ibuanda atau sebaliknya.

 

  Tujuan Kaedah Tatabahasa Terjemahan

 1.    Membolehkan pelajar-pelajar memahami nahu sesuatu bahasa dan dapat  melatih murid menulis menggunakan bahasa yang betul.

 2.    Membolehkan murid-murid  menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya.

 3.    Melengkapkan murid dengan perbendaharaan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan.

 4.    Membolehkan murid-murid membaca dan menterjemahkan makna buku-buku yang dibaca ke bahasa ibuanda dan membolehkan mereka lebih menikmati nilai kesusasteraan yang dibaca.

 5.    Kaedah ini biasanya bersifat deduktif dan lebih mementingkan bahasa tulisan daripada bahasa lisan.

Kelebihan Kaedah Tatabahasa Terjemahan
1.    Perlaksanaan kaedah ini tidak memerlukan masa yang panjang untuk menterjemahkan sesuatu bahasa
2.    Kaedah ini juga tidak memerlukan guru yang fasih dalam sesuatu bahasa
3.    Tidak memerlukan perbelanjaan yang besar dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran
4.    Kaedah ini juga tidak memerlukan latihan yang intensif terutamanya kepada murid-murid yang fasih membaca
5.    Murid-murid akan lebih mahir dalam penulisan dan  penterjemahan  sesuatu bahasa
6.    Memperkembangkan kebolehan murid membaca sesuatu bahasa asing tanpa terjemahan


 Kelemahan Kaedah Tatabahasa Terjemahan
1.    Menambahkan kebolehan murid-murid dalam membaca tetapi mendatangkan kesukaran kepada murid-murid yang mempunyai kesulitan membaca
2.    Kaedah ini mungkin dalam bentuk kuantiti tetapi tidak dalam bentuk kualiti. Murid-murid mungkin dapat membaca sesbuah buku tetapi tidak memahami maksud buku yang dibaca
3.    Kaedah ini menghasilkan murid-murid yang dapat membaca buku teks tetapi tidak dapat membaca serta memahami bahan bacaan yang lain, atau pun menghasilkan murid-murid yang boleh membaca tersebut tidak  dapat memahami dan bertutur dalam bahasa yang dipelajari.
4.    Mengikut kaedah ini yang mementingkan bentuk tulisan daripada lisan menyebabkan murid lebih mahir dalam penulisan tetapi lemah dalam pertuturan.
5.    Struktur ayat bagi dua bahasa selalunya tidak sama dan menyukarkan untuk difahami oleh murid-murid
6.    Erti dan maksud perkataan tidak sama dalam sosiobudaya yang berbeza.
7.    Pembelajaran murid lebih kepada teknik menghafaz

02.Kaedah  Terus

 Menurut Salleh Mohd Akib (1975), kaedah terus ini ialah kaedah pengajaran secara perbualan untuk memperkenalkan bahasa kedua kepada kanak-kanak.

Menurut  Kamarudin Hj. Husin (1988), kaedah ini mengutamakan prinsip mengajar berdasarkan psikologi kanak-kanak.

Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat perkara asas iaitu:
              i.        Perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya.
            ii.        Pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman sedia ada murid.
           iii.        Kaedah ini dapat menimbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan.
           iv.        Mengutamakan  bahasa lisan,  mengutamakan sebutan yang betul, ulangan dan pengukuhan harus dibanyakkan, dan mempelajari sesuatu yang mudah sebelum sesuatu yang kompleks.

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah  tentera kerana kaedah ini mula digunakan untuk melatih pegawai tentera dan diplomat dalam perang Dunia Kedua dahulu. Pengajaran bahasa kaedah ini mengutamakan bahasa lisan kerana menganggap bahawa dalam pembelajaran bahasa ibuanda(natif) kanak-kanak belajar secara mendengar dan bertutur. Oleh kerana sebutan yang betul diutamakan, kaedah ini memerlukan ilmu fonetik. Jadi  kaedah ini merupakan gabungan linguistik  dengan pengajaran bahasa.

Pelajaran  bahasa dimulai dengan menghubungkan murid-murid itu terus dengan bahasa yang hendak dipelajari. Kanak-kanak diperkenalkan dengan sistem bunyi bahasa itu. Sebutan  penutur natif dijadikan model dan pertuturan ini ditiru oleh murid-murid. Manakala soal terjemahan tidak digunakan langsung.

Pelajaran  tatabahasa pula diajar secara induktif , pola-pola ayat yang hendak diajar dilatihtubi dahulu sehingga murid-murid dapat menguasainya. Undang-undang tatabahasa hanya diajar selepas penguasaan struktur ayat . Bahan-bahan bacaan yang digunakan merupakan bahan-bahan yang ada kaitan dengann latihan lisan yang dibuat.

Kelebihan- kelebihan Kaedah Terus

 i.        Membolehkan murid   menguasai keempat-empat kemahiran bahasa,contohnya mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
ii.        Murid dapat menggunakan bahasa yang dipelajari di dalam masyarakat yang berkenaan dengan cepat
iii.        Murid-murid lebih memahami maksud sesuatu perkara yang disampaikan dengan adanya benda maujud (sebenar)
iv.        Murid-murid dapat menguasai kemahiran berbahasa lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul
v.        Murid-murid lebih berani mengeluarkan idea dan pendapat dengan cara yang segera
vi.        Murid-murid dapat dihubung terus dengan bahasa yang hendak diajar kerana kaedah ini tidak menggunakan terjemahan
vii.        Segala makna perkataan yang tidak difahami akan dapat dijelaskan dengan cara huraian, lukisan, aksi, perkataan seerti, perrkataan berlawan dan sebagainya.

Kelemahan-kelemahan
i.        Murid-murid tidak dapat menulis dengan betul kerana kaedah ini lebih mengutamakan lisan
ii.        Hasil tulisan murid lebih kepada  struktur-struktur natif (ibunda)yang disalut dengan perbendaharaan kata asing  kerana murid-murid  telah mempunyai kebiasaan pertuturan bahasa ibuanda sebelum belajar bahasa  kedua atau bahasa asing.
iii.        Masa  yang diperlukan untuk pengajaran kaedah ini terlalu lama kerana sukar bagi murid menguasainya tanpa adanya latih tubi yang berkesan
iv.        Bahan-bahan yang digunakan dalam kaedah ini merupakan bahan-bahan yang boleh dihafalkan, ataupun bahan perbualan yang telah ditetapkan ,maka ini mungkin tidak sesuai untuk perkembangan kebiasaan pertuturan yang sistematik.
v.        Kaedah ini menjadi masalah kepada murid-murid yang lemah dan lambat memahami topik yang diajar.

03.Kaedah  Kod  Kognitif

 J. B . Carroll  berpendapat  kaedah kod kognitif merupakan pembaharuan dan pengubahsuaian terhadap kaedah tatabahasa terjemahan.
       Chomsky berpendapat bahawa bahasa merupakan sistem rumus-rumus bahasa yang ternyata melalui bentuk linguistik.Pengetahuan bahasa adalah dalam  bentuk abstrak dan bersifat sejadi dan sejagat.Seorang kanak-kanak telah dianugerahkan keceekapan semula jadi rumus-rumus bahasa ibuandanya dalam jangka masa yang singkat.

        Pada  umumnya Diller ( 1971 )  berpendapat bahawa kaedah ini mempunyai andaian  berikut terhadap bahasa :
a)    Kod kognitif  merupakan satu tingkah laku yang ditetapkan dengan peraturan-peraturan.
b)    Kaedah ini juga boleh digunakan untuk berfikir.
c)    Kod kognitif ini mempunyai peraturan-peraturan tatabahasa nyata dari segi psikologi, dan;
d)    Manusia  mempunyai kecekapan tersendiri untuk berbahasa.

Di samping itu kaedah ini pula mempunyai andaian berikut terhadap pembelajaran bahasa ( khusus bahasa kedua )
a.    Kaedah Kod Kognitif merupakan proses menguasai pola-pola fonologi, tatabahasa dan leksikal sesuatu bahasa kedua secara sedar.
b.    Kaedah ini dapat dilaksanakan melalui pengkajian dan analisis sama seperti pembelajaran ilmu pengetahuan .
c.    Mengutamakan pemahaman murid-murid terhadap struktur bahasa daripada kebolehan mereka menggunakan bahasa dalam situasi yang bermakna.

Kelebihan Kaedah Kod Kognitif
1.    Murid mahir dalam bacaan dan penulisan kreatif
2.    Murid dapat  menguasai struktur bahasa  pada taraf kognitif
3.    Murid boleh memahami tatabahasa dan sesuatu bahasa kedua
4.    Murid dapat menterjemah makna bahan bacaan dalam bahasa ibunda
5.    Murid mahir dalam membina ayat dengan menggunakan sistem bahasa yang betul
6.    Murid boleh mengemukakan banyak idea, perkataan dan menyatakan sesuatu ayat gramatis

Kelemahan kaedah Kod Kognitif
1.    Murid-murid yang lemah tidak dapat menulis dengan struktur bahasa yang betul
2.    Kaedah ini memerlukan bahan bacaan dan rujukan yang banyak dan sesuai
3.    Murid lemah dalam pertuturan kerana kaedah ini mengutamakan tulisan dan bacaan
4.    Pembelajaran melalui proses mental tidak sesuai untuk semua murid terutamanya murid yang lemah
5.    Pengajaran bahasa  pula lebih mengutamakan kecekapan bahasa daripada kecekapan berbahasa.
6.    Kaedah ini memerlukan seorang guru yang mahir dalam pengajaran bahasa

04.Kaedah  Oral –Aural ( Dengar –tutur )

      Kaedah  oral-aural  atau kaedah dengar –tutur ini menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara  ajukan. Kaedah ini bermula dengan sebutan lisan. Latih tubi dan dialog  dijalankan dengan memberi perhatian kepada intonasinya yang betul.Perkara yang menjadi objektif bagi kaedah ini ialah sebutan penutur jati bahasa itu.

             Latih tubi boleh dijalankan dengan menggunakan bahan pandang dengar yang lengkap. Latihan menyebut dan membaca bahan dikawal dan disediakan dengan sistematik. Sistem tatabahasa yang diberi kepada murid diperkenalkan secara induktif dan dengan pemeringkatan yang teratur. Perbendaharaan kata misalnya diberi sedikit demi sedikit pada awalnya dan selalunya dalam konteks yang bermakna. Setelah menguasai bacaan, murid diberi latihan dengan aktiviti menulis secara terkawal sebelum memulakan penulisan bebas.

 Objektif  pengajaran bahasa mengikut kaedah ini lebih mengutamakan kemahiran mendengar dan bertutur. Oleh itu murid ditekankan kepada aspek mendengar dan kemudiannya bertutur dengan menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih tubi dan dialog dijalankan dalam cara yang realistik memberi perhatian kepada intonasi yang betul.

Kelebihan kaedah Oral-Aural
1.    Murid akan mendengar   dengan teliti apa yang disampaikan
2.    Murid boleh bertutur dengan sebutan dan intonasi yang betul
3.    Murid memberi perhatian sepenuhnya kerana khusuk mendengar cerita dan soalan yang dikemukakan
4.    Murid akan lebih berani dan berkayakinan mengutarakan jawapan dan  soalan yang diajukan
5.    Murid dapat berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif terhadap topik yang dipelajari

Kelemahan kaedah Oral-Aural
1.    Ejaan bagi setiap perkataan sukar dan tidak dapat dicam oleh murid yang lemah
2.    Makna sukar difahami bagi murid yang tridak memberikan perhatian
3.    Kelas pembelajaran tidak dapat dikawal jika sesuatu cerita atau topik yang disampaikan tidak menarik
4.    Murid yang tidak memahami topik pelajaran akan menjadi bosan
5.    Murid yang sederhana dan lemah tidak dapat mengeluarkan idea dan pendapat kerana sukar mamahami maksud cerita dan perkara yang disampaikan

05.Kaedah  Bahasa Komuniti

 Kaedah ini diasaskan oleh Charles A.Curran. Kaedah ini menggunakan teknik psikologi dalam kaunseling dalam pengajaran bahasa. Kaedah ini juga  berasaskan teori interaksi dan  berpegang  kepada  prinsip pengajaran bahasa pertama dan pengajaran bahasa mestilah  berpandukan proses perolehan bahasa kanak-kanak. Oleh sebab proses pemerolehan bahasa kanak –kanak melibatkan  proses kognitif dan proses interaksi bahasa,maka pengajaran bahasa mestilah merangkumi kecekapan bahasa ( tatabahasa )  serta kecekapan komuniti (ketepatan penggunaan bahasa mengikut konteks penggunaannya )

Andaian ini juga berasaskan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak,kanak-kanak menguasai  makna terlebih dahulu dan kemudian baharulah mereka dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat yang tertentu.Oleh itu pengajaran bahasa  pelajar mestilah menglibatkan aktiviti penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbangsaran, wawancara dan lain-lain supaya mereka  dapat berlatih menggunakan struktur  bahasa yang diajar.

Struktur bahasa dapat dikuasai oleh murid-murid  dengan cara yang lebih berkesan
sekiranya mereka memberi perhatian terhadap makna. Murid juga dapat menguasai makna sesuatu bahasa yang diungkapkan dan  dapat menguasai huraian unsur-unsur bahasa dalam teks dan wacana .

Pengajaran bahasa tidak boleh tertumpu semata-mata kepada aktiviti latih amal atau latih tubi unsur-unsur bahasa tetapi pengajaran perlu memasukkkan  aktiviti-aktiviti penggunaan unsur-unsur tatabahasa yang dilatih tubi..Teknik-teknik soal jawab dan latih tubi digunakan bagi melatih murid-murid  menguasai unsur-unsur bahasa dalam pra akktiviti. Kaedah ini  mempunyai beberapa kelebihan dan kelemahan bagi Bahasa Melayu di sekolah menengah.

Kelebihan kaedah Bahasa Komuniti
1.    Sistem bahasa (tatabahasa)  tidak dipelajari secara abstrak tetapi sebagai alat berkomunikasi.
2.    Guru dapat menggabungjalin pelbagai kemahiran bahasa di dalam  sesuatu aktiviti pengajaran.
3.    Murid-murid diberi peluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam berkomunikasi mengikut  tugas yang dirancangkan oleh guru
4.    Membolehkan murid-murid menguasai kecekapan bahasa yang mudah
5.    Pengajaran bahasa lebih berpusatkan murid daripada guru. Murid yang diajar supaya lebih berminat untuk belajar melalui kaedah ini.
6.    Kaedah ini membolehkan murid- murid menguasai kecekapan menggunakan unsur-unsur  bahasa yang dipelajari dalam berbagai konteks.
7.    Memberi  peluang kepada murid-murid  untuk cuba menggunakan bahasa dalam situasi-situasi tertentu.
8.    Kesilapan  bahasa selalunya bukanlah  kesalahan bahasa, dalam proses pemerolehan bahasa kanak-kanak, kerana menganggap kesilapan itu merupakan satu ciri yang lumrah.
9.    Struktur bahasa dapat dikuasai oleh murid-murid  dengan cara yang lebih berkesan
10. Sekiranya  mereka memberi perhatian terhadap makna,murid dapat menguasai makna sesuatu bahasa yang diungkapkan
11. Murid dapat menguasai huraian unsur-unsur bahasa dalam teks dan wacana .

Kelemahan Kaedah Bahasa Komuniti
1.    Bagaimanapun  kaedah ini tidak bergantung semata-mata kepada buku teks sebagai bahan pengajaran.
2.    Memerlukan kemahiran  murid memilih dan menggunakan unsur-unsur bahasa yang telah dilatih dalam  pra aktiviti  untuk berinteraksi dalam kontkes sosial yang diberi.
3.    Beberapa teknik pengajaran perlu digunakan untuk memastikan yang pelajar-pelajar dapat menguasai struktur tersebut dan konteks pewujudannya.

Kaum Kedayan di Sabah


Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan mempunyai pelbagai kepercayaan, adat resam dan agama. Mengikut analisitik diianggarkan terdapat lebih 30 kumpulan etnik di Sabah. Antara kumpulan etnik utama ialah Kadazandusun, Rungus,Bajau, Melayu-Brunei, Murut, Suluk, Orang Sungei , Kedayan, dan Bisaya. Dalam kajian ini kaum Kedayan merupakan kumpulan etnik yang serumpun dengan bangsa Melayu di Semananjung dan Sarawak.

Sejarah asal-usul
Hasil kajian ini,kita mendapati banyak teori yang menjelaskan tentang asal-usul kaum Kedayan ke Sabah.  Terdapat sumber menyatakan Kedayan merupakan bangsa campuran Orang Jawa dan Masyarakat Melayu Brunei . Sumber ini merujuk kepada  peristiwa Sultan Brunei Ke 5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang pada ketika itu singgah di tanah Nusantara seperti di Kepulauan Jawa, Sumatra, Kalimantan dan termasuklah  di tanah Jawa[1]  Sultan Brunei telah  menyaksikan aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan menawarkan mereka untuk menetap di Brunei.

Keterangan ini juga merujuk kepada kenyataan tulisan Harrison and Harrison [2]1956 turut menjelaskan kewujudan kaum Kedayan dating dari Jawa Majapahit ketika itu dipercayai bermula pada abad ke-14 dan ke-15 di Kota Batu Brunei. Di sinilah bermulanya ikatan pertalian dan persaudaraan orang Jawa melalui perkahwinan campur dengan Masyarakat Melayu Brunei sehingga pada masa kini kaum Kedayan banyak menetap di Daerah Temburong, Tutong, Belait,Bandar Seri Begawan dan Muara (Jerudong). Pada keagungan tamadun Brunei kaum Kedayan ini telah  berpindah-randah sehinggalah mereka berkembang ke  Sabah dan  Sarawak.

Dalam pada itu sejarah dan kebudayaan Melayu (1995 : 1120) pula mencatatkan bahawa terdapat sumber lisan yang menyatakan orang Kedayan ini berasal dari Indonesia. Setelah beberapa abad mereka menetap di Brunei, mereka berhijrah ke Sabah dan Sarawak. Sehingga ini, pengkaji yang membuat penyelidikan atas asal usul orang Kedayan sering mengaitkan tempat nenek moyang suku kaum ini dengan kepulauan Indonesia, khususnya dari Jawa.
Namun Hose (1912) dalam kajian sejarah suku kaum Kedayan mendapati bahawa suku kaum ini mempunyai pertalian darah dengan pribumi di Kalimantan, oleh itu beliau mencapai keputusan bahawa orang Kedayan berasal dari Kalimantan[3].-

Sejarah kedatangan kaum Kedayan ke Sabah bermula dari Selatan Negeri Sabah apabila kawasan ini menjadi sebahagian daripada pemerintahan kerajaan Brunei ketika itu. Kawasan-kawasan yang terlibat ialah di Kg Malintaman (Merintaman), Kg Ulu Sipitang,, Mesapol, Kg. Banting dan Kg Luagan di Sipitang  merupakan antara penempatan kaum Kedayan terbanyak di Sabah. Selain itu kaum ini juga terdapat di Mempakul dan Limadan di Kuala Penyu, Kg.Lingkungan , Kg.Inuman dan Kg.Bukau di Beaufort. Manakala di Papar kaum ini terdapat di Kg.Kelanahan dan Kg Kelatuan.

Dalam tinjauan  yang dibuat di Kg Banting Sipitang,mendapati bahawa sesetengah warga tua yang menetap di kampung berkenaan menyatakan cerita lisan yang diwarisi turun-temurun mendapati bahawa kedatangan kaum Kedayan di Sabah bermula di Kampung Banting ini. Ianya bermula apabila berlakunya penghijrahan masyarakat Kedayan dari  Brunei Darusalam, dan Limbang Sarawak. Cerita ini didukung oleh cerita lisan yang disebarkan dari mulut ke mulut (oral literature) dan menjadi  genre cerita rakyat dan legenda. Begitupun ada juga mengatakan kedatangan kaum ini ke Sabah semasa kegemilangan  Kesultanan Brunei telah membawa banyak penduduk dari Negara itu untuk menetap di Sipitang terutamanya di Mesapol dan di kawasan persisiran pantai barat di Sabah.
             
            Setakat ini, tidak banyak kajian dilakukan ke atas orang Kedayan baik yang dilakukan oleh sejarawan atau ahli antropologi. Salah seorang pengkaji sejarah dan budaya orang Kedayan ialah Allen Richmond  Maxwell JR. Beliau telah melakukan penyelidikan penuh peringkat PhD-nya atas budaya suku Kedayan di Lembah Labu, Brunei Darussalam yang berjudul Urang Darat, An Ethnographic Study of The Kedayan Of Labu Valley, Brunei, Yale University[4]. Di samping itu, Maxwell (1980) juga menghasilkan sebuah tulisan yang berjudul "On the Various Spelling of the Word Kadayan" (Brunei Museum Journal, Vol. 2, 1970), berhubung dengan pelbagai ejaan dan panggilan orang Kedayan.. Akibatnya terhasilah bermacam-macam ejaan yang berlainan seperti "Kadaian", "Kadayan", "Kadian", "Kadien", "Kadyan", "Karayan", "Kedyan", "Kedien" dan "Kerayan". Bagaimana pun pada masa kini, hampir semua bahan cetak termasuk Kamus Dewan, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu menggunakan ejaan "Kedayan".

Selain Maxwell, tidak banyak kajian secara teliti telah dilakukan atas sejarah dan budaya suku kaum ini. Menurut Bantong Antaran (1985), bahawa asal nama Kedayan itu telahpun wujud bersama-sama dengan kewujudan kesultanan Brunei. Pada mulanya, semua penduduk Brunei hanya lebih dikenali sebagai ‘Melayu’ dan tidak mempunyai suku kaum yang dipanggil atau dikenali sebagai Kedayan ketika sebelum wujudnya kesultanan Brunei ketika itu.
           
            Di Sipitang Sabah, penduduk pertama yang menetap di situ dikenali sebagai ‘orang darat’ ialah masyarakat Kedayan dan Lundayeh[5]

Sosiobudaya ,Adat resam, Sistem sosial,dan Pendidikan     
Sosiobudaya  masyarakat Kedayan di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya. Pada kebiasannya budaya hidup masyarakat ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan masyarakat yang akan membimbing golongan muda mengenai peraturan,adat resam, agama serta kepercayaan yang telah diwarisi mereka sejak turun-temurun. Pada umumnya seseorang individu itu akan lebih memahami sosiobudaya hidup masyarakat mereka melalui pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah sehinggalah kepada komuniti tersebut.
  
Pada kewujudan kaum Kedayan,kaum ini mempunyai tempat tinggal yang dipunyai oleh dua kelompok yang berbeza dan berasingan, iaitu yang tinggal di pesisiran pantai dan kuala sungai yang bekerja sebagai nelayan.Manakala satu kelompok lagi mendiami kawasan pendalaman dan bekerja sebagai petani dan pesawah. Kehidupan tradisi masyarakat Kedayan adalah bergantung kepada kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional seperti mengusahakan sesuatu bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan harian.

Begitupun pada ketika ini kegiatan ekonomi masyarakat Kedayan ini telah berubah dan menjadi moden berbanding  kehidupan masyarakat dahulu. Kedayan sekarang ini lebih banyak bergantung atau bekerja dengan Kerajaan dan juga dalam sektor swasta. Jika adapun,masyarakat Kedayan yang masih melakukan aktiviti seperti bertanam hanyalah sebahagian orang-orang tua yang hanya bertujuan untuk mengisi masa lapang dan untuk keperluan mereka sahaja. Corak kehidupan tradisi masyarakat Kedayan mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam bidang pertanian . Kegiatan pertanian ini telah dijadikan sebagai sumber pendapatan yang utama bagi kehidupan puak Melayu Kedayan ketika itu.

Antara aktiviti pertanian yang mereka usahakan ialah penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan menternak haiwan peliharaan seperti ayam dan itik.  Aktiviti lain yang turut diusahakan termasuklah memburu binatang kerana faktor geologi dan kedudukan penempatan yang dikelilingi hutan telah mendorong kegiatan ini. Salah satunya ialah mundul taipas (taripas). Selain itu kedudukan mereka di persisiran pantai dan tepi sungai juga telah mendorong kegiatan ekonomi lain seperti menangkap ikan dengan cara tradisional. Salah satunya mereka akan memancing ikan dengan menggunakan peralatan tradisi seperti bubu, jala dan siyut untuk ikan air tawar dan menggunakan pukat dan ancau apabila menangkap ikan di laut.

Peraturan dan Adat Resam.
Masyarakat Sabah sememangnya  kaya dengan adat resam dan pantang larang hidup yang tersendiri. Hal ini telah menjadikan adat dan pantang larang sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian masyarakat bumiputera di Sabah. Amalan adat dan pantang larang dalam sesebuah masyarakat ini bertujuan memelihara dan menjamin kesejahteraan hidup.
           
            Masyarakat Kedayan seperti juga halnya dengan masyarakat Melayu di Semananjung Malaysia dan Sarawak mempunyai adat dan budaya yang sama serta saling mempercayai dan mematuhi undang-undang adat. Jika seseorang itu tidak mematuhi undang-undang adat yang ditetapkan, maka sesuatu perkara yang tidak baik serta malapetaka akan menimpa masyarakat tersebut. Begitupun ianya Terdapat beberapa undang-undang adat yang menjadi amalan penduduk di Sabah. Antaranya yang berkaitan dengan pertanian, perkahwinan, dan kematian.

Adat Pertanian
Faktor geografi dan lokasi setempat masyarakat Kedayan telah mendorong kepada kegiatan sosioekonomi  dalam bidang pertanian, memburu dan nelayan. Penanaman padi  merupakan pekerjaan utama masyarakat ini sehingga kini masih lagi mengamalkan pertanian tradisi. Sebelum menanam dan ‘mengatam’ (menuai)  padi dijalankan kawasan penanaman padi terlebih dahulu di’tetakan’ (dibaca doa) oleh seorang pawang dengan cara manangas (Membaca ayat suci atau doa) di sekeliling kawasan padi padi empat penjuru.

            Apabila padi telah masak petani-petani ini akan batulong-tulongan (bantu-mambantu) mengatam padi.  Padi yang telah diketam (dituai) akan di simpan di dalam durong  iaitu sebuah tempat yang dibuat untuk berehat dan menyimpan padi. Kerabau masih digunakan untuk membantu petani mengangkut hasil padi begitu juga sebagai jentera untuk membajak sawah. Secara tradisinya para petani ini juga akan menggunakan alat galok (sabit) untuk mengetam (menuai) padi .

            Di samping itu para petani Kedayan juga melakukan aktiviti mundul taipas (cara menangkap burung taripas). Aktiviti ini sememangnya telah terkenal di kalangan kaum Kedayan. Untuk menangkap burung ini mereka akan menggunakan jaring mengikut cara tradisi mereka. Selain itu memburu payau (rusa) juga merupakan pekerjaan rutin pada musim menuai .

            Bagi penduduk Kedayan yang tinggal di persisiran pantai dan di tebing sungai pula lebih cenderung kepada aktiviti nelayan. Sama halnya seperti nelayan-nelayan dari suku kaum yang lain nelayan Kedayan menjalankan aktiviti mengangkap ikan dengan menggunakan rambat (jala), pukat, bujak (lembing), bubu, babang dan manimba untuk menangkap ikan. Gubang  (perahu kecil)dan perahu merupakan sejenis pengangkutan air yang popular, juga akan digunakan untuk mengangkap ikan. Gubang juga telah menjadi kenderaan pengangkutan utama suatu ketika dahulu untuk mengangkut hasil tanaman dan makanan seperti padi dan beras.

Adat Perkahwinan
Setiap kumpulan etnik di Sabah mempunyai adat tersendiri dalam menjalankan upacara perkahwinan. Bagi masyarakat Kedayan, adat perkahwinan adalah sama seperti juga masyarakat Melayu. Umumnya adat sesebuah perkahwinan masyarakat ini dimulakan dengan berjarum-jarum (merisik) di mana keluarga laki-laki dating ke rumah bini-bini (perempuan).

"Adat perkahwinan masa dulu ani ialah kepala baiyairinya ialah kinkin pembuka mulut kayis laki-laki yang mengantati arah bini-bini karang ani inda lagi ada usuri sebagai penggantinya mun kelangkahan dulang adik kahwin dulu bagi yang bini-bini yang laki-laki inda pulang ada bagi kelangkahan dulang laki-laki ani masti bagi kinkin kepada yang dilangkahi dulang atu sepasang seorang tu sama seperti yang di bagi kepada pengantin perempuan kalau bangsa lani lagi banyak ankup dangan sepasang kasut kinkin sebantuk dan tudung dulang jua tanda bertunang kinkin sebantuk pembuka mulut seperti basar-basar jarum atu mulanya seratus saja belanja hangus kaban lima belas ijib saja seekong jadi kira mulanya belanja karun masa dulu atu."

oleh Piah Bte Karim (umur 70 tahun, 2000), Limbang, Sarawak.

Selepas itu diikuti dengan bersarang gundih (meminang) dengan membawa sebentuk kinkin (cincin). dan acara mengantat barian (hantaran kahwin). Mengantat berian ini biasanya bakal pengantin laki-laki akan memberi wang hantaran bersama seikung kerabau (seekor kerbau).Seterusnya apabila kata sepakat telah dicapai majlis nikah  akan dilangsungkan dengan diikuti majlis bertimbang (bersanding).

Seminggu sebelum majlis kahwin diadakan memucang (gotong-royong) kalangan keluarga terdekat dan jiran datang untuk membuat persiapan perkahwinan. Biasanya memucang ini dilakukan bagi mempersiapkan khemah, dapur memasak (tempat mendadih) dan membuat kuih-muih. Sehari sebelum majlis perkahwinan pula majlis mendadih (memasak) iaitu mengelupis (sejenis makanan seperti ketupat yang diperbuat daripada pulut) . Menyembelih kerbau secara berami-ramai seringkali dilakukan untuk dijadikan lauk-pauk semasa jamuan makan. Daging kerbau tersebut seterusnya dipotong-potong dengan mengarap (mencincang) biasanya dilakukan oleh kaum wanita secara beramai-ramai.

Adat bagi pengantin perempuan (bini-bini) pula, terlebih dahulunya sebelum menjelang saat perkahwinan orang-orang tua telah memberikan beberapa petua dan adat tradisi yang mesti dipatuhi. Umpamanya mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan wajah dan kulit bakal pengantin perempuan. Sesetengah adat pula melarang bakal pengantin perempuan ini keluar rumah selama satu atau dua minggu sebelum majlis perkahwinan. Adat ini mesti dipatuhi kerana khuatir akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku ke atas bakal pengantin.

Pada malam selepas diijab Kabul (nikah) pula dilangsungkan majlis malam bebadak (majlis berinai) . Pada malam ini majlis disertai bacaan berzanji,  merhaban dan selawat ke atas nabi s.a.w. Majlis merenjis pengantin akan dilakukan oleh kaum keluarga dan jiran yang hadir dalam majlis ini semasa selawat nabi dialungkan. Selepas itu diadakan pula acara bergambus (tari-menari) dan dan pada ketika ini diadakan juga acara karaoke. Menjelang larut malam pula diadakan acara Mukun atau Bergendang..Acara ini sangat popular pada ketika dahulu di mana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana sambil berpantun seloka, berbalas-balas dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk berbalas pantun. Kaum Kedayan merujuk pantun sebagai pantun atau sabut-sabutan (walaupun kebanyakannya merujuk teka-teki)Si  penjual pantun pula akan menyampaikan pantun dengan intonasi dan suara mengikut rentak gendang yang dialunkan.

Biasanya kaum wanita yang menjual pantun untuk dibalas oleh golongan lelaki, tidak kira tua mahupun muda. Begitupun lain pula halnya bagi pengantin, seluruh badannya akan disapu dengan dadak (bedak yang diperbuat daripada beras dan semua jari tangan dan kaki akan dipacari (inai).

Pada hari majlis perkahwinan diadakan jamuan makan kepada semua yang hadir dan yang dating pula akan membawa buah tangan untuk diberi kepada pihak pengantin. Mandi pengantin dilakukan dengan beradat sambil diiringi  dengan pukulan gulintangan dan rempana. Seperti juga dengan tradisi masyarakat Melayu, pengantin lelaki yang akan bertandang ke rumah pengantin perempuan akan diiringi oleh kumpulan rempana(kompang) dambil membawa bunga manggar. Pengantin lelaki ini akan ditunda (dipimpin) dengan menggunakan saputangan oleh seorang imam atau orang yang dianggap layak memimpinnya. Majlis bertimbang ( bersanding) dilakukan dari atas pelamin sehinggalah  ke luar rumah supaya yang hadir dapat menyaksikan kedua-dua pengantin tersebut. Pada malam itu pula pasangan pengantin ini dilarang tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Selain itu acara maliwan (Pengantin lelaki akan membawa isteri bersama rombongan balik ke rumahnya) diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.

Adat Kenduri
Kenduri ialah majlis membaca doa dengan menjemput saudara mara dan jiran terdekat dan disajikan dengan jamuan makan selepas membaca doa. Kenduri yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Kedayan ialah kenduri doa selamat bagi menyatakan maksud mensyukuri setelah mendapat sesuatu dan kenduri ini biasanya dibuat selepas mengatam padi. Begitu juga halnya dengan kenduri menyambut kelahiran bayi, kenduri gunting rambut bayi, kenduri selepas berkhatan dan kenduri doa arwah iaitu kenduri mengingati keluarga yang telah meninggal dunia. Selain itu ada juga sesetengah orang tua yang masih mempercayai kenduri membaca doa tolak bala kerana rumah dimasuki oleh binatang liar seperti ular dan biawak.

Adat kelahiran
Biasanya adat kelahiran ini adalah berpandukan kepada hukum dan syariat dalam Islam. Anak  yang baru dilahirkan akan dibangkan (diazankan) oleh bapa atau lelaki terdekat kepada anak berkenaan). Seterusnya akikah dilaksanakan sebagai perkara sunat mengikut Islam bagi anak yang  baru dilahirkan itu. Adat bercukur pula dilakukan apabila anak tersebut telah melangkui usia 1 bulan diadakan secara beramai-ramai dengan melagau (memanggil) saudara mara dan jiran terdekat .

Adat ini biasanya diadakan bacaan berzanji, merhaban dan berselawat ke atas nabi sambil anak tersebut dipotong beberapa helai rambut dan ditabur beras kunyit dan direnjis dengan wangi-wangian. Adat kelambiji (bersunat) juga masih dilakukan sehingga ke hari ini. Majlis ini biasanya dilakukan selepas anak lelaki tersebut berkhatan. Majlis yang dilakukan sama seperti majlis cukur rambut.

Adat Kematian
Apabila seseorang itu telah menginggal dunia, beberapa kepercayaan dan telah menjadi amalan sunnah yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Ianya dilakukan adalah bagi mendoakan si mati semoga roh simati diampuni dosa dan sejahtera. Sebagai memenuhi tuntutan agama masyarakat Kedayan akan mengadakan majlis ini dengan menjemput saudara mara dan jiran untuk mengadakan sembahyang di rumah si mati selama tujuh hari berturut-turut. Selepas itu diadakan kenduri tiga hari diikuti Makan Tujuh hari (kenduri hari ke tujuh) dan kenduri makan empat puluh hari. Kenduri Jumat-jumatan (setiap malam Jumaat) juga diadakan sehingga empat puluh hari tadi.  Ini diikuti dengan kenduri  haul (ulang tahun kematian) yang akan diadakan pada setiap tahun bagi mengenang kemangkatan si mati.

            Kenduri arwah juga turut diadakan pada setiap tahun menjelangnya bulan Syaaban (taqwim Islam) dan biasanya selepas Nisfu Syaaban sebelum menjelangnya Bulan Ramadhan.

Pendidikan
Masyarakat Kedayan di Sabah menerima pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal dipelajari oleh kanak-kanak melalui keluarga atau masyarakat yang bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Pada peringkat ini kanak-kanak telah diajar cara-cara seperti memancing, memanja, berburu, bertukang, menyumpit,bersawah, dan berternak. Pendidikan ini bermula dengan mengajar  kanak-kanak mempelajari kemahiran ini bagi membolehkan mereka berdikari apabila dewasa kelak.
Atas kesedaran mengenai dengan kepentingan pendidikan bagi anak-anak, masyarakat Kedayan juga tidak ketinggalan bagi memberikan pendidikan yang tinggi kepada anak-anak mereka. Anak-anak telah dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan yang amat berguna suatu masa kelas di samping dapat mengubah kehidupan mereka sebelum ini yang hanya mengharapkan kepada bercucuk tanam sahaja.
            Pendidikan secara formal pula amat terhad dan hanya tertumpu pada pendidikan agama Islam seperti membaca al-Quran dan menulis jawi yang diadakan di surau, pondok, serta rumah guru agama. Begitupun pendidikan sekular tidak diabaikan dan menjadikan pendidikan ini sebagai wajib kepada anak-anak masyarakat Kedayan bagi menghadapi masa depan. Anak-anak masyarakat Kedayan mendapat pendidikan asas ini dengan belajar secara formal di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta. Pada peringkat umur 3 hingga 6 tahun anak-anak ini telah menduduki sekolah di Taman Didikan Kanak-kanak ( TADIKA), Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan di sekolah-sekolah swasta.
           
            Pada peringkat 7 hingga 12  tahun anak-anak masyarakat Kedayan menerima pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan dan sehinggalah ke sekolah menengah (13 hingga 17) tahun. Selain itu juga pendidikan masyarakat ini juga telah mendapat pendidikan sehingga mencapai ke peringkat ijazah.dengan mengikuti program pensiswazahan di universiti-universiti tempatan dan luar negara.


[1] http://eyamkedayan.blogspot.com/2008/05/asal-usul-kedayan.html
[2] Harrison & Harrison,1970
[3] En. Low Kok On, BA., MA. (USM)2000, Pensyarah Sastera Rakyat.

[4] A.R.Maxwell Jr.research for PhD(Yale University) on linguistic of Kadayan in Brunei
[5] Amde Sidik ,The Mystic of Borneo Kedayan,Kota Kinabalu: Borneo Publishers,2007.