TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL
Menurut Choong (2008), teori ini berfokuskan kepada pembelajaran yang berlaku dalam konteks sosial dengan memberi pertimbangan kepada bagaimana kita belajar sesama kita melalui pembelajaran pemerhatian.
Teori Pembelajaran Pemerhatian
Albert bandura (1925 hingga kini) adalah pakar psikologi yang menghubungkan pembelajaran melalui pemerhatian dan peniruan. Kajian dilakukan ke atas kanak-kanak apabila mereka menonton video orang dewasa memukul, mengetuk, menendang dan duduk di atas patung Bobo sambil menjerit “sockeroo!”. Kemudian, mereka pergi ke bilik permainan yang terdapat patung Bobo dan mula menunjukkan aksi-aksi yang dilakukan oleh orang yang mereka tonton tadi. Bandura menamakan situasi ini sebagai pembelajaran pemerhatian.
Proses peniruan mempunyai empat langkah tertentu iaitu pemerhatian, penyimpanan, pengeluaran dan motivasi. Menurut Choong (2008), manusia belajar melalui pemerhatian atas tingkahlaku orang lain dan hasil tingkahlaku tersebut.
Implikasi Teori Pembelajaran Sosial Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Murid-murid perlu diberi peluang untuk memerhati dan meniru pelbagai jenis model yang menunjukkan tingkahlaku yang diingini. Sebagai guru, kita perlu menjadi contoh yang baik untuk mereka teladani. Selain itu, persekitaran sosial yang kondusif perlu disediakan agar tingkahlaku yang baik dapat diterapkan dalam kalangan murid-murid. Daripada pemerhatian dan peniruan ini, murid-murid dapat mempelajari sesuatu dengan mudah dan ringkas.
PENDEKATAN HUMANIS
Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), pendekatan ini melihat pelajar sebagai insan berpotensi, bermotivasi dan berkeupayaan untuk belajar dan berkembang. Menurut Choong (2008) pula, pendekatan ini menumpukan kepada perkembangan konsep kendiri, motivasi intrinsik dan kesedaran kendiri murid-murid.
Teori Pembelajaran Eksperiental
Carl Rogers (1902-1987), pelopor teori ini menganggap manusia pada dasarnya baik dan bermotivasi tinggi untuk mencapai potensi diri. Beliau juga percaya bahawa setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar. Teori pembelajaran eksperiental mengutamakan pelajar terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran. Rogers mengkategorikan teori ini kepada dua bahagian iaitu pembelajaran kognitif yang mementingkan akademik semata dan pembelajaran pengalaman yang melibatkan aplikasi pengetahuan. Apabila pelajar berada pada tahap ancaman rendah, kadar pembelajaran menjadi lebih pantas kerana pembelajaran tersebut atas usaha mereka sendiri.
Teori Hirarki Keperluan Maslow
Abraham Harold Maslow (1908-1970), menghasilkan peringkat keperluan manusia untuk mencapai potensi diri masing-masing. Peringkat keperluan ini pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu keperluan kekurangan dan keperluan perkembangan. Di dalam keperluan kekurangan terdapat keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan yang perlu dicapai agar pelajar terus bermotivasi ke arah pencapaian yang lebih tinggi. Dalam keperluan perkembangan pula, pencapaian intelek, estetika dan penyempurnaan kendiri akan dicapai apabila keperluan kekurangan dipenuhi.
Implikasi Pendekatan Humanis Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Guru perlu memenuhi keperluan asas murid-muridnya dahulu sebelum memulakan pengajaran. Kenalpasti setiap kekurangan keperluan asas semasa awal sesi pengajaran. Peruntukkanlah sedikit masa untuk melakukannya. Guru hendaklah menerima murid tanpa syarat mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), guru hendaklah melayani individu pelajar sebagai insan, membentuk individu pelajar mengikut potensi masing-masing dan menyediakan mereka untuk menghadapi zaman dewasa kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan