Pada umumnya, bahasa tercipta untuk menandakan dan menamakan sesuatu, sama ada benda, keadaan, sifat atau konsep. Proses menandakan dan menamakan ini berlaku semasa kita masih berada pada peringkat kanak-kanak lagi. Ini boleh dilihat pada situasi seperti seorang ibu yang memanggil anaknya dengan nama-nama seperti Ahmad, Busu (Melayu): John, Mary ( Inggeris) sejak bayi lagi. Pada hakikatnya bayi itu telah diajar mengenali diri sendiri. Nama yang diberikan kepada bayi ini secara tidak langsung akan menentukan ciri-ciri yang ada padanya dan tidak ada pada orang lain.
Kemudian mereka diajar mengenali orang yang paling hampir dengan mereka, seperti ibu, bapa, abang, kakak atau adik dengan panggilan , seperti ibu, emak, abah, ayah, kak long, adik dan sebagainya. Semua panggilan ini mempunyai makna terhadap benda yang dirujuk seperti juga halnya dengan diri bayi itu. Sesuatu perkataan atau ungkapan yang diujarkan oleh manusia mempunyai berbagai-bagai tafsiran atau rujukan. Tafsiran dan rujukan ini boleh terjadi secara langsung dengan perkataan atau ungkapan yang dirujuk dan juga secara tidak langsung. Secara mudahnya, semantik bolehlah dianggap sebagai kajian tentang makna.
Oleh itu,Semantik ialah kajian yang berkaitan dengan makna kata dan ayat. Kajian ini menumpukan pada aspek makna bentuk linguistik dan hubungannya dengan dunia rujukannya. Justeru itu, semantik merujuk kepada aspek makna bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan