Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

22 April 2012

BAHASA MELAYU KLASIK

Awang Sariyan- bahasa Melayu Klasik merupakan tahap ketiga dalam periodisasi bahasa Melayu, sesudah bahasa Melayu Purba dan bahasa Melayu Kuno. Bahasa Melayu Klasik  bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19. Bahasa Melayu Klasik ini diasaskan sewaktu terdirinya kerajaan Islam pertama di sebelah timur Aceh, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di bawah Sultan Malikul Salih. Bahasa ini merupakan kesan langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam.

 Zaman permulaannya ditandai dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi. Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14. Prasasti bahasa Melayu Klasik banyak terdapat di semenanjung Tanah Melayu seperti di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lain. Prasasti ini juga ditemui di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh. Pada abad ke-13, peralihan bahasa berlaku ekoran daripada pengaruh yang dibawa oleh agama Islam ke Asia Tenggara.
Kehadiran agama Islam -mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu ketika itu terutama dari aspek kosa kata, struktur kata dan juga tulisannya. Peralihan bahasa Melayu Kuno kepada bahasa Melayu Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (1390), iaitu batu bersurat pertama yang ditemui penggunaan kata-kata Arab seperti khalifah, nabi-nabi, Allah dan  rahmat. Batu bersurat Pagar Ruyung pula mempunyai sedikit perbezaan dengan batu bersurat abad ke-7, iaitu dari segi bahasanya.
Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau- ditemui dalam manuskrip Melayu Lama. Terdapat kira-kira 10,000 naskhah manuskrip Melayu lama ini tersimpan di beberapa buahnegara terutamanya di Barat. Manuskrip Melayu lama yang tertua ialah surat kiriman Sultan Ternate, dari kepulauan Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh tahun 1521 dan 1522. Tulisan berbentuk buku pula ialah ialah kitab Aqaid al-Nasafi yang bertarikh 1590 (988H).Terdapat juga manuskrip lama lain seperti Tutinameh (1600), Hikayat Seri Rama (1633), surat Raja Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh kepada Raja Inggeris, King James I (1615). Penemuan ini menunjukkan bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca di Asia Tenggara pada masa itu.Dari segi fonologi, sistemnya tidak dapat ditentukan kerana tiada datalisan. Awang Sariyan mengatakan bahawa perlambangan bunyi vokal terbatas kepada tiga sahaja, iaitu i, a dan u (daripada vokal Arab alif,ya dan wau). Namun demikian dapat diandaikan bahawa bahasa Melayu klasik mempunyai enam bunyi vokal sebagaimana yang tterdapat dalam bahasa Melayu, iaitu a, e pepet, e taling, i, o, dan u. Dari segi bunyi konsonan pula, dapat diandaikan bahawa bunyi konsonan bahasa Melayu Klasik sama dengan yang terdapat dalam bahasa Melayu Moden. Pelambangan bunyi getaran alveolar r yang jelas menggunakan huruf „ra  dalam bahasa Arab.
Penggunaan ini pada hujung suku kata akhir tertutup menggambarkan bahawa bunyi getaran alveolar itu hidup dan tidak senyap dalam bahasa lisan klasik. Bunyi diftong pula memperlihatkan persamaan dengan bunyi diftong dalam bahasa Melayu Moden, iaitu ai, au dan oi. Dari segi tatabahasa pula, imbuhan yang digunakan sama dengan yang digunakan dalam bahasa Melayu Moden. Hal yang sama juga berlaku bagi proses morfofonemik, penggandaan dan pemajmukan. Dari segi sintaksis, ayat dalam bahasa ini memanfaatkan empat pola ayat dasar, iaitu ayat tunggal, ayat majmuk yang sama rumusannya dengan bahasa Melayu Moden, ayat kompleks dan ayat pasif.

Tiada ulasan: