0.1 PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN
Penggabungjalinan kemahiran ialah satu proses yang menggabungkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang intergratif dan menyeluruh. Ia merupakan integrasi beberapa kemahiran yang berkaitan secara bersepadu serta menyeluruh dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan strategi ini dilaksanakan ialah bagi membantu murid dalam penguasaan pelbagai kemahiran dalam sesuatu masa pengajaran dan pembelajaran secara serentak serta meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu strategi ini juga penting untuk menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran disamping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna murid. Proses penggabungjalinan kemahiran juga dapat memberi ruang dan peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid secara seimbang dan menyeluruh melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di dalam kelas yang melibatkan murid secara aktif serta seluruh kelas.
Terdapat tiga jenis bentuk penggabungjalinan kemahiran iaitu penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran, penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain dan penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum. Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran ialah apabila proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan melibatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran lisan atau pertuturan, membaca, menulis, mengira, melukis, mewarna dan lain-lain.
Penggabungjalinan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua kemahiran yang digabungkan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran-kemahiran ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemahiran fokus dan kemahiran sampingan. Kemahiran fokus merupakan kemahiran utama yang hendak disampaikan sebagaimana yang terdapat dalam objektif pengajaran dan pembelajaran manakala kemahiran sampingan pula ialah kemahiran yang digabungkanjalinkan setelah dipilih berdasarkan kaitannya dengan kemahiran yang di fokus.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam pelaksanaan pengajaran yang melibatkan proses penggabungjalinan seperti membuat penelitian terhadap keperluan mata pelajaran untuk mengenal pasti kemahiran yang di fokus dan kemahiran sampingan yang akan terlibat ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Penelitian ini sangat penting dalam menentukan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar agar objektif pengajaran dapat dicapai. Di samping itu guru perlu memastikan keutamaan kemahiran agar kemahiran fokus dapat dikuasai oleh murid berbanding kemahiran sampingan.
Selain itu guru juga perlu menetapkan susunan atau tertib kedudukan kemahiran-kemahiran tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai persediaan sebelum bermulanya proses pengajaran guru boleh menyediakan keperluan bahan-bahan yang diperlukan bagi tujuan pelaksanaan kemahiran-kemahiran tersebut selaras dengan objektif mata pelajaran.
Bentuk penggabungjalinan yang seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain.Proses ini memerlukan penggabungan kemahiran-kemahiran yang terdapat di dalam sesuatu mata pelajaran lain ke dalam mata pelajaran yang diajar. Sebagai contoh yang jelas dapat dilihat penggabungjalinan yang diaplikasikan ialah seperti penggabungan kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dengan mata pelajaran Kajian Tempatan iaitu melalui aktiviti seperti melukis Jalur Gemilang atau pelan kedudukan sekolah. Penggabungjalinan ini perlu diwujudkan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan murid.
Penggabungjalinan kemahiran merentas kurikulum pula melibatkan kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam kurikulum seperti kemahiran belajar untuk proses pembelajaran murid, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah. Setiap kemahiran ini mempunyai hubungan dan berkait rapat dengan kehidupan seharian murid. Oleh itu kemahiran-kemahiran ini perlu dititikberatkan ole setiap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu guru yang juga perlu menitikberatkan soal kemahiran pelbagai kecerdasan serta kemahiran generik kerana kemahiran ini melibatkan kecerdasan murid dan penting untuk proses pertumbuhan dan perkembangan murid.
Implikasi daripada proses penggabungjalinan kemahiran ini objektif bagi setiap mata pelajaran dapat dicapai disamping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Proses ini juga merupakan suatu pengukuhan kepada kemahiran yang telah diperoleh oleh murid daripada mata pelajaran lain. Kemahiran sampingan yang terdapat dalam penggabungjalinan dapat membantu penguasaan kemahiran fokus sebagaimana yang dikehendaki dalam objektif pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu murid-murid juga berpeluang untuk menyepadukan kemahiran-kemahiran yang perlu dalam kehidupan. Kemahiran-kemahiran yang telah mereka perolehi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat diaplikasikan dalam aktiviti kehidupan seharian seperti membaca, menulis, melukis dan mengira. Penggabungjalinan juga berkeupayaan untuk menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik dan dapat mengelakkan kebosanan murid disamping menggalakkan proses pertumbuhan dan perkembangan murid-murid secara seimbang, harmonis dan bersepadu.
0.2 PENYERAPAN PENGETAHUAN
Penyerapan pengetahuan melibatkan proses penyebatian dan penyepaduan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar. Hal ini adalah kerana setiap perkara yang dipelajari dalam suatu mata pelajaran adalah saling berkaitan dan amat berguna bagi mata pelajaran lain. Sebagai contohnya isi pengetahuan daripada mata pelajaran Sains dan Matematik diserapkan seiring dengan penguasaan kemahiran-kemahiran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
Konsep ini sedikit berbeza dengan konsep penggabungjalinan kerana proses penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukannya kemahiran. Dalam proses ini murid akan dapat melihat perkaitan antara suatu mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain. Hasil daripada penyerapan ini maka wujudlah beberapa kelebihan kepada proses pengajaran dan pembelajaran antaranya seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat menjadi lebih menarik walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya bersifat sebaliknya.
Oleh itu secara tidak langsung aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif serta efektif. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan disamping murid-murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang telah dipelajarinya melalui penyerapan kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung isi pengajaran telah dihubungkaitkan dengan pengetahuan dari mata pelajaran lain. Guru haruslah bijak memilih isi pengetahuan yang menarik daripada mata pelajaran lain untuk meransang minat murid terhadap pengajaran dan menjadi lebih ceria, aktif serta progresif.
0.3 PENYERAPAN NILAI MURNI
Penyerapan nilai murni merupakan proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai murni ini melibatkan semangat kewarganegaraan masyarakat Malaysia yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran, penyerapan nilai murni ini telah dilakukan secara sedar dan terancang tetapi murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara semulajadi dan sendirinya.
Walaubagaimanapun, secara terperincinya penyerapan nilai-nilai murni ini telah berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan juga pendekatan eksplisit. Pendekatan implisit digunakan apabila guru-guru secara tidak langsung telah menerapkan sesuatu nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti apabila guru bercakap benar, berpakaian kemas dan adil. Pendekatan ini boleh berlangsung secara merentas kurikulum serta oleh semua guru kerana nasihat, bimbingan, teguran, contoh dan teladan boleh berlangsung pada bila-bila masa dan di mana-mana yang difikirkan sesuai.
Pendekatan eksplisit pula boleh diaplikasikan dengan mengadakan ssesuatu peraturan, arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan sepert arahan untuk tidak membuang sampah di merata-rata serta menjaga kebersihan persekitaran. Terdapat juga sesetengah pihak sekolah yang mengadakan program atau aktiviti yang khusus untuk menerapkan sesuatu nilai murni dalam kalangan murid seperti program motivasi, khemah ibadat, sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Guru, kempen kebersihan dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian. Penyerapan nilai murni melalui pendekatan eksplisit adalah lebih terancang bersesuaian dengan matlamat dan kaedah pelaksanaan serta penilaian yang jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan