Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

21 Mei 2011

Pengujian, pengukuran dan penilaian


PENGENALAN
Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan mereka mengukur prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Akan tetapi secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.
 
Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik ialah dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi supaya dapat membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang tepat. Dan apa yang ingin diterangkan secara ringkas di bawah ini ialah tentang tujuan-tujuan pengujian dan penilaian itu sendiri.

DEFINISI
Antara ketiga-tiga istilah (pengujian, pengukuran dan penilaian) berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus.

Pengujian
Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula seperti 'ekstrovert' atau 'introvert' bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

"Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)"

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Secara ringkas Pengujian ialah : Satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.

Penilaian
Penilaian adalah suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara, Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai "the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives". Definisi ini menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.

Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

Secara ringkasnya Penilaian ialah : Satu proses membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran. Bertujuan memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah mengajar dan kurikulum.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.



 

Tiada ulasan: