Pengikut

PROGRAM TRANSFORMASI MINDA JPN SABAH

Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) telah digantikan dengan Program Transformasi Minda (TPM) ( muat turun borang )

21 Mei 2011

Kesedaran Kepelbagaian Sosio-Budaya


Malaysia mempunyai lebih dari 27 juta penduduk pada tahun 2008. Rakyat dinegara kita ini terdiri daripada lebih dari 200 etnik. Diantara kumpulan terbesar terdiri dari Melayu, Cina , India, Kadazan-Dusun, Banjar, Iban dan lain-lain lagi.
 
Kepelbagaian sosio-budaya Malaysia boleh ditinjau dari segi bangsa, struktur masyarakat atau kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam dan jantina.

Bangsa

 Menurut Kamus Dewan (1999), bangsa merupakan sekumpulan orang yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama. Kamus Pelajar (1993) pula memberi takrifan bangsa sebagai kumpulan manusia yang sama usulnya serta serupa sifatnya.

  Bangsa merupakan suatu kelompok manusia yang dianggap memiliki identiti bersama, yang bersatu pada satu wilayah dan mempunyai keterikatan dengan wilayah tersebut. Contohnya, Melayu, Cina dan India di Malaysia yang hidup bersama sejak dahulu dan telah membentuk identiti Malaysia yang ada kini.

  Bangsa juga merujuk kepada nilai sosial seperti bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, setiakawan, dedikasi, persahabatan, perkongsian, kesabaran dan kegigihan yang boleh dipupuk dalam kalangan murid untuk mencorakkan suasana bilik darjah yang sihat dan dinamik.
Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.
 
Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.

Istilah "Melayu" untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka.Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah "Melayu" yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.

Penakrifan orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian dari negeri Thai dan Filipina. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, di Indonesia, orang Melayu hanya merupakan salah satu daripada beratus-ratus kaum/suku di negara itu. Lebih-lebih lagi, warga Indonesia lebih suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu. Iaitu:

Penakrifan undang-undang
Penakrifan antropologi
Penakrifan undang-undang
Di negara Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam pekara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai
1. Seorang yang beragama Islam
2. Bertutur bahasa Melayu
3. Mengamalkan adat istiadat Melayu
4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.

Tiada ulasan: