Bagi
melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi pada masa
akan datang hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan
keyakinan dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan
modal insan yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan
tidak mungkin sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep
pendemokrasian yang memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat
mendapatkan pendidikan berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian.
Dalam
hal ini juga, seorang guru itu haruslah memiliki nilai dan etika keguruan yang
selaras dan menjurus kepada nilai-nilai keagamaan yang teguh dalam proses
pembinaan negara bangsa . Memandangkan bidang pendidikan merupakan salah satu
aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara
maju dan bertaraf dunia, guru-guru juga perlu menyiapkan diri mereka dengan
ciri-ciri pendidik yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara
bangsa yang cemerlang. Seorang guru
juga haruslah mempunyai ciri-ciri
personal, ciri interpersonal, ciri profesional, ciri intelektual yang baik,
berkemahiran dalam pengurusan, kreatif dan inovatif, menguasai ilmu pedagogi,
dapat mengaplikasikan teori kepada amalan dan mengamalkan pembelajaran ilmu
sepanjang hayat (Abd. Rahim, 2005).
Kesemua
ciri ini amat penting bagi melayakkan seseorang menjadi guru yang berkesan,
berwibawa dan berketrampilan bagi menjayakan proses pembinaan negara bangsa.
Melalui profesionalisme guru akan dapat membantu meningkatkan lagi sistem
pendidikan di negara kita. Melalui peningkatan profesionalisme guru akan dapat
melahirkan guru yang bertanggungjawab dan mempunyai komitmen yang tinggi serta
sanggup dan dapat melakukan apa sahaja yang
diperlukan dalam bidang pendidikan. Perubahan paradigma dan peredaran
masa membawa banyak perubahan, inovasi dan cabaran terhadap profesion guru yang
memerlukan perubahan fungsi dan peranan seorang guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan